Pada post yang lalu, saya ada memberikan nota awalan sebelum saya mengarah sesebuah teater. Seperti dijelaskan melalui post yang lalu, setiap kerja pengarahan saya akan dimulakan dengan nota awalan ini. Nota ini saya pelajari daripada bekas pensyarah saya James O’ Connor, seorang profesor daripada Amerika Syarikat yang sempat mengajar saya ilmu pengarahan ketika pengajian peringkat sarjana muda di UiTM dahulu. Nota ini ternyata sangat memberi kesan kepada saya lantas saya gunakan setiap kali kerja-kerja pengarahan saya.
Kenapa saya guna nota tersebut?
Selalu, ketika di zaman belajar, pensyarah selalu menanyakan, konsep apa yang mahu dibawa dengan naskhah ini. Untuk menjawab persoalan ini secara tepat amatlah sukar dan kadang-kala mengelirukan. Sesebuah teater itu sukar dikelaskan genrenya melainkan teks persembahan. Selalunya, bagi pengarah muda (atau pelajar) apabila soalan ini ditanya, konsep merujuk kepada bagaimana pelaksanaan visual naskhah ini dibuat. Jika ia surreal, maka set-dan propsnya perlu tidak real, watak-wataknya perlu kabur, penataan cahaya yang lebih simbolik dan sebagainya. Jika diperhatikan, ini adalah kerja-kerja seorang sinografer, bukan kerja seorang pengarah untuk menentukan kualiti visual persembahan.
Jadi, apa tugas pengarah? Bagaimana pengarah mahu menjawab soalan jika ditanya, apakah konsep teater anda?
Sebagai seorang pengarah muda, saya fikir, soalan ini sukar dijawab. Tetapi boleh diterangkan dengan menggunakan nota awalan ini. Nota awalan adalah visi pengarah terhadap sesebuah teks dari pelbagai aspek. Nota ini juga dapat digunakansebagai alat untuk komunikasi kreatif antara ahli produksi yang lain seperti sinografer, pereka poster, pengarah artistik, pengurus produksi dan juga pengarah pemasaran. Pendek kata, jika nota awalan ini dibuat dengan teliti dan merangkumi kesemua visi pengarah, semua orang di dalam produksi dapat menterjemahkan ia ke bahagian masing-masing.
Seperti yang anda dapat baca melalui post sebelum ini, tiada perkataan konsep digunakan dalam nota tersebut. Saya kira, idea dan visi pengarah telah digantikan dengan perkataan kerangka teaterikal. Saya akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai hal ini dalam post akan datang. Akan tetapi dalam post ini, saya akan memulakan dengan peringkat permulaan.
Terdapat tiga bahagian awal dalam nota awalan iaitu
1. Saya tahu…
2. Kemungkinan…
3. Saya rasa…
Saya akan menerangkan satu persatu hal ini supaya ia mudah difahami.
Saya tahu…
Dalam bahagian ini, saya tahu adalah syarat-syarat yang diketahui oleh seorang pengarah. Syarat-syarat ini juga adalah limitasi yang diketahui dan wujud dalam perlaksanaan sesebuah pementasan. Limitasi ini datang daripada naskhah, produksi dan juga aspek lain seperti polisi kerajaan dan sebagainya. Ia boleh jadi:-
1. Konfigurasi pentas. Biasanya, apabila seseorang pengarah diminta pengarah, dia sudah mengetahui di mana teater tersebut akan dipentaskan. Terdapat beberapa jenis pentas seperti proscenium, thrust, arena, theatre in the alley dan beberapa bentuk yang lain. Melalui konfigurasi pentas, pengarah dapat membayangkan keadaan blocking, trafik pentas, keluar/masuk pelakon dan sebagainya. Selain itu juga, pengarah dapat membayangkan skala pementasan. Contohnya, di Istana Budaya bilangan penonton 1400, Stor Teater 80-100 penonton, DPAC 600 penonton dan sebagainya. Tetapi biasanya, dengan mengetahu konfigurasi pentas, perkara utama yang terlintas adalah keadaan bloking pelakon dan trafik pentas.
2. Bajet. Dengan dunia kini yang semakin mencabar dari sudut ekonomi, pengarah juga diberikan syarat tertentu. Salah satunya adalah bajet produksi. Saya pernah bekerja dalam produksi bajet RM50 ke 30,000 Canadian Dollar. Aspek ekonomi juga penting untuk memastikan supaya kita tidak terlalu bercita-cita besar mementaskan teater. Dengan mengetahui bajet produksi, seseorang pengarah boleh memastikan limitasi perbelanjaan terhadap perkara-perkara penting sahaja. Dengan bajet RM50, pengarah tidak boleh sesuka hati order projektor untuk sesebuah show. Dengan bajet RM50 juga, pengarah perlu memikirkan aspek-aspek sinografi yang lain juga. RM50 juga tidak cukup untuk memanggil pelakon professional bekerja. Jadi, bajet penting dalam syarat ini.
3. Skrip. Skrip apa yang akan dikerjakan? Berapa orang pelakon? Berapa adegan? Berapa anggaran durasi persembahan? Adakah skrip ini akan diolah? Dan sebagainya? Ini adalah syarat-syarat awal yang diketahui sebelum memulakan kerja pengarahan. Jika anda merasakan ia perlu diolah dan diminta untuk mengolah, anda harus nyatakan di bahagian kedua dalam seksyen ini.
4. Rehearsal. Ada sesetengah produksi telah memerikan syarat tempoh rehearsal yang akan dibuat. Ada yang makan 2, 3 bulan. Ada yang jenis ekspress dua minggu dan sebagainya. Jika produksi ada menetapkan syarat, sila nyatakan. Hal ini penting supaya anda dapat merangka kerja pengarahan anda. Bagi saya, saya suka meletakkan jumlah jam keseluruhan rehearsal. Sebagai contoh, 100 jam rehearsal. Carilah masa mana sekalipun, hujung minggu atau waktu malam, jumlah keseluruhan rehearsal adalah 100 jam. Nak bayar pelakon pun senang kira. Kalau kata waktu rehearsal tidak capai sasaran, kita sebagai pengarah tahu yang kita tidak cukup rehearsal. Adakalanya juga, jika kita bekerja dengan pelakon yang professional dan pelakon yang sering bekerjasama, jumlah rehearsal ini menjadi semakin berkurangan.
5. Nota-nota lain. Anda boleh tulis segala nota-nota lain yang anda ketahui sebelum memulakan rehearsal lagi. Jangan terhadapkan nota-nota ini kepada perkara di atas sahaja. Tulis semua limitasi, syarat dan kekangan yang anda tahu wujud di peringkat awal ini. Berkemungkinan besar, limitasi ini akan mewujudkan stail persembahan yang baharu – siapa tahu? Contoh limitasi yang diketahui wujud boleh jadi:
a. Tiada sistem audio.
b. Sistem pencahayaan yang sangat asas.
c. Adegan rompakan melibatkan 10 orang watak.
d. Kesemua pelakon adalah wanita.
e. Ada adegan nuditi.
Anda boleh tulis apa sahaja limitasi. Tulis seberapa banyak yang anda tahu. Percayalah, jika anda tahu limitasi anda, anda akan mula berfikir dengan lebih kreatif dan kritis, gittew…
Kemungkinan besar…
Untuk bahagian ini, anda sudah mula bermain-main dengan imaginasi anda. Bahagian ini anda boleh meramal beberapa perkara yang mungkin akan wujud berdasarkan kehendak skrip dan limitasi yang telah dikenalpasti. Sebagai pengarah juga, setelah mengenal pasti potensi naskhah dan kemampuan produksi dari segi idea dan material, anda akan membentangkan idea pelaksanaannya. Sebagai contoh:
1. Dalam contoh di atas, diketahui semua pelakon adalah wanita dan anda tahu dalam naskhah ada watak-watak lelaki dan wanita akan dimainkan. Oleh itu, kemungkinan besar yang boleh wujud di sini adalah
a. Cross gender casting akan dibuat, atau
b. Solekan dan kostum lelaki untuk pelakon wanita yang memegang watak lelaki, atau
c. Watak lelaki akan dimunculkan melalui boneka/wayang kulit, atau
d. Pelakon perempuan akan pakai topeng lelaki untuk memainkan watak lelaki, atau
e. Lain-lain cara.
2. Dalam contoh di atas, diketahui terdapat adegan nuditi dalam teks, yang mana adegan ini merupakan adegan terpenting naskhah. Berdasarkan polisi tertentu, katakan adegan nuditi dilarang sama sekali di atas pentas. Oleh itu, kemungkinan besar yang boleh wujud di sini adalah
a. Adegan nuditi dibuat di belakang pentas, atau
b. Adegan nuditi dibuat di belakang skrin dan bentuk siluet, atau
c. Adegan nuditi dipotong, atau
d. Adegan nuditi disimbolikkan dengan aspek sinografi, atau
e. Lain-lain cara.
Kemungkinan-kemungkinan ini boleh muncul berdasarkan kecenderungan pengarah terhadap stail yang dia kuasai atau mahu teroka dalam sesebuah produksi. Sebagai contoh, saya begitu cenderung dalam hibriditi teater tradisional dan kontemporari. Dalam produksi Rasukan Dendam Hamlet yang dipentaskan, kebanyakan solusi yang saya temui adalah dengan pendekatan topeng dan patungan. Selain itu juga, ia akan merangkumi persoalan idea dan falsafah di mana dalam produksi Rasukan Dendam Hamlet yang saya arahkan, saya mewujudkan suku kaum asli yang melakonkan permainan. Gaya persembahan sebegini sudah lama wujud dalam teater-teater di Asia yang mana kebanyakannya melibatkan ritual dalam persembahan.
Dalam bahagian ini juga, sesudah mengetahui limitasi produksi, anda boleh menulis cara untuk mengatasinya. Sebagai contoh, ada adegan rompakan dan ia mahu disempurnakan dalam bentuk koreografi. Maka itu, kemungkinan besar anda memerlukan seorang koreografer untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Anda juga boleh menambah apa sahaja idea-idea nakal anda yang mungkin dapat dilaksanakan dalam limitasi yang anda telah kenalpasti.
Saya rasa…
Dalam bahagian ini, terdapat beberapa perkara yang anda masih pertimbangkan berdasarkan kemampuan fizikal produksi. Anda seperti mahu mencuba kesuaiannya nanti di dalam rehearsal tetapi bergantung kepada keadaan dan kemampuan produksi. Hal ini boleh berubah-ubah di dalam rehearsal dan tidak semestinya terjadi. Ini penting untuk ahli produksi lain tahu. Sebagai contoh, anda mahu bereksperimen mahu menukar props keris kepada pedang.
1. Anda akan menulis “Saya rasa, keris akan ditukarkan kepada pedang semasa perlawanan antara Tuah dan Jebat.”
a. Justifikasi - Disebabkan kecenderungan anda dalam perkahwinan budaya timur dan barat, anda mahu menukar props ini. Akan tetapi semasa di dalam rehearsal, keadaan fizikal pedang ini membuatkan gerakan pelakon menjadi semakin kecil. (Pedang panjang dan memerlukan banyak ruang jika berlawan, keris lebih pendek dan hubungan pelakon lebih akrab meskipun dalam pertarungan). Perkara-perkara ini yang mungkin akan muncul hanya setelah latihan dibuat. Anda dapat lihat secara fizikal, adakah ia mencapai matlamat kreatif anda. Berkemungkinan akhirnya anda akan menggunakan keris, atau juga tetap menggunakan pedang tetapi pedang yang lebih pendek daripada biasa atau menggantikan keris dengan parang, atau apa sahaja kemungkinan lain yang turut sama menggunakan kecenderungan anda.
Bahagian ini, malar sifatnya. Akan tetapi masih bergantung kepada limitasi yang telah diketahui dalam bahagian pertama tadi. Anda masih boleh bermain-main dengan idea-idea nakal anda. Namun, ia seharusnya realistik dengan kemampuan produksi. Tulis sahaja apa yang bakal anda cuba dan terapkan di dalam rehearsal. Berkemungkinan ia akan menemui jalan kegagalan dan barangkali ia membuahkan hasil yang tidak disangka. Ia penting untuk ahli produksi tahu. Sebagai contoh, seorang sinografer yang bagus akan dapat menterjemah visi anda dan membuatkan apa yang anda imaginasikan ke atas pentas dengan begitu bergaya sekali. Anda mungkin tidak menemui solusinya tetapi ada orang lain yang mampu berfikir mengikut kreativiti mereka demi melunaskan visi anda. Lagi pula, teater kan satu kerja kolaborasi. Percaya pada rakan kreatif anda untuk menterjemah bahagian ketiga ini, jika anda tidak mampu. Jika mereka juga tidak mampu, tidak mengapa. Ia mungkin boleh digunapakai di dalam produksi lain yang lebih sesuai.
Untuk post kali ini, saya hanya terangkan ketiga-tiga ini dahulu. Anda boleh cuba sendiri dengan teks atau naskhah yang anda mahir untuk berfoya-foya dengan idea anda. Sebagai penutup, saya sertakan contoh nota awalan yang saya pernah buat berdasarkan naskhah Matinya Seorang Pahlawan (Jebat) karya Usman Awang. Namun, pementasan ini tidak berjaya dibuat atas sebab-sebab yang tertentu. Anda boleh baca dan teliti. Nota ini tidak begitu lengkap tetapi anda dapat ideanya.
Saya tahu:
1. Kita akan gunakan skrip asal seratus peratus. True dengan skrip.
2. Beto Kusyairy sebagai Jebat, Megat Shahrizal sebagai Tuah.
3. Ada dua lagu lama dinyanyikan oleh watak Dang Wangi. Anak Raja Turun Beradu dan Makan Sirih.
4. Proscenium stage.
5. Setting Istana Melaka kurun ke-17
6. ada koreografi silat dan tarian dan perlukan seseorang yang berkemampuan untuk koreograf.
Kemungkinan besar…
1. pementasan akan habis kurang sejam
2. Penambahan adegan prolog.
3. Lagu-lagu digubah dengan arrangement baru yang lebih segar tetapi masih mengekalkan sense of traditional.
4. Dang Wangi nyanyi live.
5. Watak Dang Wangi mengandung anak Jebat.
Saya rasa…
1. ada video projection/projection mapping digunakan semasa kematian Jebat.
2. Tubuh badan dan saiz fizikal Kasturi perlu lebih kurang Jebat.
3. Perlukan soundscape artist.
Dari nota ini anda mungkin dapat simpulkan bahawa,
1. Pelakon yang memainkan watak Dang Wangi mesti boleh menyanyi secara langsung.
2. Idea berkaitan legasi berdasarkan watak Dang Wangi yang mengandung anak Jebat. Pereka kostum juga akan mereka busana yang sesuai untuk highlight idea ini.
3. Pelakon Jebat dan Tuah perlu pandai bersilat
Dan beberapa lagi yang anda dapat simpulkan. Selamat maju jaya. Saya harap dapatlah anda memahami sedikit proses kerja-kerja kreatif yang saya jalankan.
Post seterusnya adalah mencari kerangka teaterikal. Tunggu bila saya ada mood nak menaip, saya akan taip.