Quantcast
Channel: Fasyali Fadzly
Viewing all 80 articles
Browse latest View live

Kekeliruan Tentang Teater Moden dan Kontemporari Malaysia

$
0
0
Bagaimana sesuatu yang dulu dianggap moden, kini sudah jadi sesuatu yang klasik? Karya-karya Ibsen, Chekhov dan Strinberg, contohnya, yang dulu dianggap moden, kini sudah boleh dikategorikan sebagai kaya klasik. Kebanyakan pengkritik di Barat sudah pun mengatakan karya-karya mereka ini sebagai karya klasik. Usia karya-karya mereka ini sudah berusia lebih kurang 100 tahun. Jadi, kalau karya-karya mereka dianggap karya klasik, yang mana satu karya yang boleh dianggap moden? Adakah karya-karya yang lahir selepas itu seperti Bertolt Brecht atau, Samuel Beckett atau, Noel Coward atau sebagainya? Karya-karya ini juga sudah ada yang menggelarkannya sebagai karya klasik.

Klasik, moden, kontemporari, avant garde dan sebagainya adalah sesuatu yang relatif dengan idea dan pemikiran di dalam dunia teater. Saya kira pengkelasan seperti ini juga berlaku di dalam aspek kesenian yang lain juga seperi muzik, catan, penulisan dan sebagainya.

Di Malaysia contohnya, karya-karya daripada Bidin Subari, Usman Awang, Syed Alwi dan seangkatan boleh dianggap sebagai sebuah karya-karya moden sewaktu awal kemunculannya. Penilaian modeniti di dalam karya-karya ini walaubagaimanapun perlu dibuat kembali untuk melayakkan aspek modeniti itu relevan dengan konteks semasa. Lantaran itu, karya-karya moden Malaysia perlu dinilai kembali dalam konteks semasa. Ada yang masih menganggap karya-karya tersebut adalah karya moden. Hal ini tidak salah, namun, bagaimana pula karya-karya yang lahir selepas itu seperti karya-karya Nordin Hassan, Hatta Azad Khan, Dinsman dan Syed Alwi. Adalah boleh disebut karya-karya mereka sebagai post-moden? Bagaimana pula karya-karya yang lahir selepas lagi daripada Nordin Hassan dan seangkatan? Seperti karya-karya Namron, Jit Murad, Faisal Tehrani, Zakaria Arifin dan seangkatan? Adakah karya mereka kita gelarkannya sebagai avant garde? Atau post-post-moden atau sebagainya? Sudah tentu tidak.

Karya-karya tidak diikat dengan masa dan modeniti melibatkan pemikiran, bukan masa. Oleh itu, sesebuah karya tidak wajar ditandai melalui masa. Modeniti berubah mengikut masa.

“Denoting a current or recent style or trend in art, architecture, or other cultural activity marked by a significant departure from traditional styles and values.” - Kamus Oxford Online

Maksudnya di sini, moden adalah keadaan kini atau mutakhir dalam kesenian atau arsitekstur atau kesenian lain atau gaya hidup  yang bertitik tolak terhadap penentangan gaya dan nilai tradisional.

Tradisional pula bermaksud sesuatu yang lama; sudah lama dalam erti kata – sudah diulang buat sehingga menjadi tradisi. Jadi moden boleh dikatakan sebagai benda baharu yang dibuat untuk menentang benda-benda lama. Jadi, kata kunci untuk moden adalah benda/perkara baharu. Di dalam teater dan drama benda/perkara baharu ini boleh dijumpai jika kita menganalisa pemikiran penulis  dan pengarah dengan teliti.

Jadi teater moden di Malaysia tidak wajar ditandai dengan tahun atau genre. Ramai di Malaysia beranggapan teater moden adalah teater realism – yang muncul pada tahun 1960an. Sebenarnya ciri-ciri moden sudah terdapat di dalam teater Bangsawan lagi. Jika sebelum ini, teater di Malaysia dipentaskan atas tujuan ritual dan keraian di Istana, Bangsawan menentang prinsip teater di Malay pada ketika itu dengan menjadikan teater itu dipertontonkan kepada orang awam dan dijadikan sebagai sebuah urus niaga. Bukankah itu satu bentuk penentangan terhadap gaya dan nilai tradisional. Sandiwara juga mengandungi unsur modeniti di dalamnya di mana ia menentang gaya dan bentuk teater Bangsawan dengan menghapuskan extra-turn. Dan teater realism pula adalah satu penentangan terhadap teater sandiwara di mana ia menentang watak dan isu yang selalu diketengahkan oleh teater sandiwara. Dan begitulah seterusnya. Jadi tidak adil jika mengatakan teater moden adalah teater realisme.

Perkataan post-moden ini juga adalah sesuatu yang boleh didebatkan. Heiner Muller (penulis dan pengarah teater Jerman, 1929-1995) apabila digelar sebagai seorang post-modenis, dia menafikan, meskipun karya-karya sudah dilihat jauh meninggalkan karya-karya sezamannya dan pengkarya seangkatan.  Namun ada definisi terperinci dan perdebatan tertentu mengenai post-modernism yang mana tidak akan saya bincangkan di dalam tulisan ini.

Berbalik kepada teater moden, saya mahu menekankan di sini bahawa teater moden Malaysia tidak ditandai dengan masa, tetapi boleh dikelaskan mengikut genre atau gaya atau pemikiran. Anak Kerbau Mati Emak pada sesetengah orang mungkin sudah masuk teks klasik, namun ada yang beranggap ia sebuah naskhah moden. Dan sudah saya terangkan – jika terjadi perdebatan ini, ia adalah kerana pemikiran yang dibawa oleh teks dan pembacanya.

Saya kira, hal ini juga boleh berlanjutan kepada aspek teater kontemporari. Oleh kerana perkataan kontemporari itu sendiri terikat dengan masa, adalah tidak wajar kita menandai teater Nordin Hassan, dan Hatta Azad Khan sebagai naskhah teater kontemporari. Jika naskhah-naskhah mereka adalah kontemporari, bagaimana naskhah-naskhah yang wujud mutakhir ini – adakah perlu dikelaskan sebagai naskhah post-kontemporari?

Saya membaca esei tulisan Krishen Jit bertajuk Hatta Azad Khan dan Teater Kontemporari di Malaysia. Tulisan ini seolah menekankan pemahaman Krishen terhadap teater kontemporari (dengan huruf kecil ‘k’) Malaysia yang dapat dilihat melalui karya-karya Hatta Azad Khan. Hatta menggunakan teknik dan gaya-gaya mutakhir yang dianggap agak digemari oleh pengkarya lain juga di zaman penciptaan karyanya (1980an). Karya-karya Hatta dibincangkan secara terperinci dengan membandingkan karya-karya lain yang turut mengaplikasikan gaya penulisan yang hampir sama dan sedang menjadi trend pada ketika itu seperti karya-karya Dinsman, Syed Alwi dan seangkatan. Krishen turut membandingkan karya-karya Hatta dengan karya-karya semasa dari luar negara seperti Beckett (yang saya kira agak baru di Malaysia pada ketika itu.)

Klasik, moden, kontemporari dan avant garde adalah sesuatu yang relatif dengan idea dan pemikiran. Ia langsung tidak ada kaitan dengan masa depan dan lampau.


p/s: Saya buka perkara ini untuk perdebatan. Bila saya cakap debat, kita cakap idea dan diskas – samada bersetuju atau tidak - berdepan atau secara online. Bukan bergosip kat belakang, tak setuju apa yang saya tulis. Kau kalau gossip kau suka la kan. Kalau kau suka gossip, baca ohbulan je. Jangan baca blog ni.

Saya, Teater dan Filem

$
0
0
Saya terpanggil menulis tulisan ini setelah mendengar saranan daripada Dr Norman Yusoff (saya selesa panggil beliau En Norman, dan saya rasa dia lebih suka saya panggil dia En Norman sahaja). Katanya, lebih kurang, “awak patut tulis pasal teater secara regular-lah Fasyali.” Saya kira beliau adalah orang yang sentiasa baca tulisan di blog saya selain beberapa lagi orang lain yang saya kira pembaca tetap. Walaupun saya tahu, tidak ramai orang membaca tulisan berkaitan teater, tapi saya tahu ada orang yang masih membaca.

Jadi untuk tulisan ini, bersempena dengan cadangan En Norman, saya ingin tulis satu entri mengenai pandangan saya berkaitan teater dan filem. Kenapa? Kerana latar belakang En Norman sendiri yang sangat gemarkan filem. Saya boleh gelar beliau sebagai sebuah rujukan bergerak berkaitan sinema dan estatik filem. Tulisan ini tidak akan menjadi sebuah tulisan yang komprehensif mengenai teater dan filem. tetapi ia membawa semangat tulisan entri di blog sahaja.

***

Ketika saya mula-mula masuk belajar di UiTM mengambil jurusan Seni Lakon peringkat diploma, setiap kali pulang ke kampong, ramai saudara mara atau sahabat handai yang bercakap, “wahhhh… jadi pelakon la kau nanti?” atau “Jadi pengarah la kau nanti”. Dan saya dianggap akan menceburkan diri dalam bidang perfileman dan bukan teater.

Saya kira menceburkan diri dalam bidang perfileman adalah satu cabang disiplin yang berbeza. Saya pernah sekali menghasilkan filem pendek bertajuk Eskep. Itu sahaja. Saya tidak ada gesa untuk menghasilkan filpen yang kedua. Perasaan itu tidak sama apabila saya menghasilkan teater. Selepas satu, satu lagi saya tulis atau arahkan. Alasan saya, saya tidak mahir dengan bahasa filem dan kapasitinya. Tidak seperti teater, saya kira kemahiran teater saya lebih baik berbanding filem. Maka itu, saya lebih selesa berteater daripada bikin filem. Mungkin jika saya rasa ada gesa untuk membuat filem, saya akan buat filem. Tapi setakat ini, tidak ada.

Medium penulis skrip adalah drama pentas, medium pelakon adalah teater, medium pengarah adalah filem.

Benda ini seolah sudah ada kefahaman mutual satu dunia orang yang terlibat dalam dunia seni persembahan. Kehebatan seseorang pelakon diuji melalui penampilannya di atas pentas dan bukan di dalam filem. Melalui teater, dedikasi pelakon dapat dilihat secara total sepanjang persembahan. Malah kita tahu, seseorang pelakon itu adalah pelakon yang berdedikasi atau tidak melalui disiplin pentas, melalui disiplin latihan dan rehearsal dan banyak lagi. Melalui filem, disiplin-disiplin ini tidak jelas dilihat di atas skrin kerana proses saringan dilakukan oleh pengarah, pengarah fotografi dan juga editor. Mereka bertanggung jawab memilih shot, frame dan aksi yang diperlukan sahaja untuk dilihatkan kepada penonton melalui proses suntingan. Justeru itu, filem bukanlah medium pelakon. Filem medium orang lain – pengarah, sinematografer dan editor. Kalau seseorang pelakon itu mahu menguji lakonan beliau, mereka seharusnya memilih pentas sebagai medan pertempuran. (Saya bercakap demi seni dan bukan wang ringgit). 

Ramai pelakon-pelakon berkualiti di Barat juga terlibat dalam teater sebelum menceburkan diri secara serius di layar perak. Bukanlah semua. Ada juga yang tidak berlakon teater atau belajar secara formal bidang lakonan tetapi terus berlakon filem. Namun, pelakon-pelakon dedikasi di Barat akan terlibat dalam bidang lakonan pentas supaya kredibiliti lakonan mereka betul-betul dicabar. Lihat sahaja Marlon Brando, Meryl Streep, Cate Blanchett, Philip Seymour Hoffman, John Malkovich dan beberapa lagi. Kebanyakan mereka memulakan karier mereka dengan teater dan kemudian berlakon di hadapan kamera. Justeru itu, pelakon-pelakon ini punya disiplin lakon yang mantap. Didikan dalam teater menjadikan pelakon-pelakon ini berdedikasi di medium mana pun.

Tidak di Malaysia, kebanyakan selebriti kemudian beralih ke pentas sekadar untuk memenuhi syarat asas kerjaya sebagai pelakon. Dengan tidak berbekalkan disiplin pentas dan tidak berdedikasi, amalan korup lakonan TV dibawa ke pentas dan mencemarkan budaya kerja teater. Selebriti-selebriti ini dilihat mengada-ngada, tidak boleh dikerah kreativiti dan tenaga mereka. Mereka sukar menyampaikan rasa dan pemikiran watak kerana limitasi skala dan kurang kemahiran penguasaan pentas. Biasa berlakon depan kamera, skala aksi, suara dan pemikiran sangat-sangat minimal dan mudah disampaikan dengan bantuan teknologi, suntingan dan sebagainya. Bila beralih ke medium pentas, mereka ini tidak terdedah dengan disiplin pentas dan kerja-kerja kreatif dalam studio yang memerlukan mereka berfikir lebih mendalam dan berlapis-lapis. Jika anda tidak percaya, boleh menonton mana-mana teater lakonan selebriti pujaan ramai di mana-mana panggung di Malaysia. Anda akan dapat lihat lakonan mereka yang dikawal-kawal, yang “tak lepas” – tak sampai bak kata ramai penggiat pentas.

Namun, tidak semua pelakon di Malaysia teruk. Ada juga yang baik. Jika ditanya, siapakah pelakon tempatan kegemaran saya, jawapan saya tidak pernah berubah sejak menonton teater Air Con (tulisan Shanon Shah) iaitu, Amerul Affendi. Pada saya tidak ada pelakon Malaysia yang sangat berdedikasi seperti beliau. Dedikasi beliau dapat dilihat bagaimana dia menterjemah bukan sahaja bahasa tubuh watak, pemilihan gaya percakapan tetapi pemikiran juga. Seperti Philip Seymour Hoffman dan John Malkovich, saya kira Amerul juga seorang pelakon underrated. Nama beliau tidak dicanang oleh media tempatan sebagai pelakon yang baik. Kemunculan beliau di dalam filem tempatan sekadar watak-watak sampingan dan bukan watak utama. Setelah lama tidak beraksi di atas pentas, saya kira Amerul perlu dicabar lagi untuk berlakon pentas. Namun, sudah tentu menjadi beban penulis untuk menghasilkan karya yang baik supaya dapat dilakonkan oleh pelakon yang baik ini. 

Kawan-kawan Filem.

Walaupun saya banyak melibatkan diri dalam bidang teater, saya juga gemar menonton filem-filem bermutu. Malah, skrip-skrip yang saya hasilkan banyak yang terinspirasi daripada filem-filem yang saya tonton. Teater Juta-Juta mengambil inspirasi daripada filem The Purple Rose of Cairo (1985), Annie Hall (1977) dan Adaptation (2002). Kotak Hitam mengambil semangat kesunyian The Wrestler (2008) dan filem-filem melodrama Mike Leigh. Ketika saya menghasilkan dua skrip ini juga saya sangat banyak menonton filem-filem bagus dan saya kira ia betul-betul mengesankan saya dari segi penulisan skrip. Mungkin sesiapa yang pernah tengok teater ini akan perasan, (atau mungkin juga tidak) pengaruh-pengaruh filem yang saya bawa ke teater saya. 

Saya juga perasan, sejak saya terbang melanjutkan pelajaran ke Canada, saya sudah jarang menonton filem-filem bermutu. Di Canada, susah untuk saya donlod filem melalui torrent. Kawan saya semasa di Canada pernah diberi amaran oleh pengedar filem di US mengenai aktiviti haram muat turun filem melalui torrent. Jadi, selepas daripada itu, kami langsung tidak donlod sebarang filem melalui torrent. Mungkin (spekulasi saya sahaja) akibat kurang menonton filem-filem bermutu, saya jarang menghasilkan skrip pentas. Atau mungkin juga sebenarnya saya ni sudah cukup makan. Maka itu saya jarang menulis skrip lagi (juga spekulasi.)

Ramai kenalan saya yang kritis pemikirannya suka menonton filem. Ridhwan Saidi, En Norman Yusoff, Razaisyam Rasyid, Amir Muhammad, Nazri Vovinski, Nazim Masnawi, Amar Amir, Fazleena Hishamuddin, Sufian Abas dan ramai lagi. Jadi lebih mudah bercakap mengenai filem dengan mereka berbanding teater. Saya ada rakan-rakan dalam aliran teater, tetapi saya gemar berbual dengan rakan-rakan gemar filem untuk diajak berborak. Pemikiran mereka lebih kritis. Mereka ini kurang drama daripada dakdak drama atau teater dan ini yang membuatkan saya suka bergaul dengan mereka iaitu rakan-rakan filem. Saya suka dengan cara mereka berfikir tentang sesebuah filem. Apabila bersama mereka bercakap mengenai filem, kita bercakap mengenai idea dan bukan siapa selebriti dan gossip-gosip sekitarnya. Saya sukar untuk dapat benda ini bila buat teater. Mungkin ada tetapi bilangannya agak sedikit. Sebab itu, saya selesa bikin teater dengan kawan-kawan yang saya kenal sahaja. Yang kritis dan bukan sekadar buat apa yang saya minta. Pada saya kerja teater adalah kerja kolaboratif, maka saya mengalu-alukan demokrasi dalam hal-hal artistik – yang mana saya dapat dengan kawan-kawan teater yang saya kenal sahaja.

Pertemuan dengan rakan-rakan gemar filem ini biasanya pada setiap Jumaat malam Sabtu. Anjuran Pusat Kajian dan Apresiasi Filem dan di bawah kuratorial En Norman, saya menghadiri tayangan percuma filem-filem bermutu jika tiada hal berkaitan kerja pada setiap Jumaat malam Sabtu dua minggu sekali. Selepas tayangan, akan diadakan sesi bual santai yang bercakap sekitar filem yang ditayangkan. Saya suka budaya seperti ini yang tidak saya dapat apabila menonton teater. 

Saya merasakan budaya ini tidak wujud kerana
1.Tidak ramai yang menonton teater dan saya tidak ada sesiapa untuk diajak berbual mengenai teater yang telah ditonton. Tambah pula, selepas menonton teater, masing-masing akan membawa diri ke destinasi seterusnya. Hanya jika ada sesi lepak-lepak kedai mamak, barulah perbincangan itu berlaku.
2.Jarang sekali dapat menonton teater bermutu dan berkualiti sekitar Lembah Kelang. Banyak teater-teater separuh masak dan akhirnya perbincangan akan melebihi hal-hal teknikal dan cara pembikinan teater tersebut dan bukan hal-hal berkaitan ideologi, falsafah dan pemikiran. Perbincangan akan lebih kepada betapa teruknya lakonan pelakon tersebut, betapa gelapnya pencahayaan, betapa lari konsepnya kostum, betapa tebalnya rias wajah pelakon dan yang sewaktu dengannya.
3.Industri teater tidak wujud. 

Teater, Filem dan dot dot dot

Selain filem, saya turut mengikuti perkembangan semasa dunia seni yang lain seperti muzik, catan, penulisan dan sebagainya. Perlu bagi saya memahami sedikit sebanyak disiplin-disiplin seni yang lain serta sejarahnya. Saya suka diskripsi Ridhwan Saidi tentang dirinya yang menceburkan diri dalam banyak cabang seni. Katanya, dia umpama span yang menyerap semua benda. Saya kira ini sesuatu yang bagus supaya kita tidak menjadi seniman yang ignoran dan kaku dalam ruang disiplin tertentu. 

Jika saya mahu menganggap diri saya sebagai seniman, saya perlu membuka diri saya kepada banyak hal lain supaya pandangan saya tidak terhad kepada satu bentuk disiplin sahaja. Lagipula, dengan memahami disiplin-disiplin lain, saya berupaya untuk mencabar atau melanggar aturan-aturan konvensional dalam teater.

Sebab saya selalu percaya, sebelum nak langgar sesuatu, kita kena tahu apa yang kita langgar. Jika kita tidak tahu apa yang kita nak langgar, kita mungkin akan cedera parah.

Bual-bual: Amar Asyraf Bawa Zulaikha ke Singapura

$
0
0
Sejak banyak institusi seni diwujudkan pada dekad 90an, kegiatan teater di tanah air turut mengena tempiasnya. Kini, kita dapat lihat ramai artis lahir hasil daripada penubuhan institusi seni. Sejak USM mengeluarkan sijil kreatif sebelum tertubuhnya ASK (kini ASWARA), banyak university awam mula menawarkan kursus dalam bidang seni persembahan seperti di UM, UiTM, UNIMAS dan banyak lagi. Kesan penubuhan sekolah-sekolah dan fakulti-fakulti seni ini memberi impak terhadap pementasan teater. 

Selain kewujudan institusi seni yang memenuhi keperluan seni hiburan dari segi bakat, institusi seni juga turut bertanggungjawab melahirkan bukan sahaja karyawan yang berilmu tetapi cendakiawan dalam bidang seni persembahan. Namun sumbangan mereka tidak berapa glamour seperti sumbangan artis yang muncul di kaca TV. Namun, kelahiran cendekiawan dalam bidang seni meletakkan seni Malaysia berada di tempat yang dimartabatkan. 

Namun, melalui tulisan kali ini, saya tidak mahu melihat secara terperinci hal ini. Hari ini saya ingin menemubual salah seorang graduan seni daripada ASWARA yang terlibat banyak di kaca TV dan turut terus melibatkan diri dalam bidang teater. Saya kira kecintaannya dalam dunia teater sukar dipadam.

Amar Asyraf merupakan graduan ASWARA dalam bidang teater. Beliau sering dilihat di kaca TV sebagai seorang pelakon. Namun, di sebalik kerjaya lakonan, beliau masih bergiat dalam aktiviti pementasan teater. Terkini, sebuah teater bertajuk Zulaikha akan merentas sempadan negara. Zulaikha diinspirasi daripada karya agung Auther Miller The Crucible sebanyak beberapa kali. Kali terakhir dipentaskan di Ipoh dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Walaupun Amar Asyraf bukanlah rakyat Malaysia pertama yang membawa teater Malaysia ke Singapura, namun usahanya menjadi pemangkin kepada pelajar dan graduan seni institusi tempatan yang lain untuk terus gigih bergiat dalam seni teater tempatan dan melihat potensi sebenar kerjaya sebagai seorang karyawan pentas.

Saya melihat Amar Asyraf sebagai satu produk institusi seni. Beliau bersama ramai lagi rakan-rakan daripada ASWARA menjadi produk bermutu dalam bidang lakonan dan teater tempatan tanah air. Namun, graduan-graduan seperti mereka perlu diberikan galakan yang berterusan daripada banyak pihak supaya rantaian seni ini akan berubah menjadi satu industri yang dibanggakan.

Disclaimer: Soalan-soalan temubual ini telah dihantar melalui emel dan dijawab juga melalui emel. Suntingan akhir dibuat dan mendapat persetujuan respondan untuk diterbitkan di dalam blog ini.


1.Boleh ceritakan sedikit latar belakang saudara dalam bidang seni.
Saya mula terlibat sebagai seorang pelakon di atas pentas sejak umur 14 tahun lagi. Bermula dengan pementasan sekolah dan kemudian hasil didikan seorang guru bernama Hadzizatul Kamar saya mula terlibat dengan pementasan teater dengan grup-grup amatur di luar sekolah di Melaka. Tapi masa tu susah juga sebabnya bukan selalu ada pementasan dan bukan selalu saya terlibat sebagai pelakon. Saya telah putuskan sejak dari umur 15 lagi saya ingin jadi seorang pelakon. Tetapi segala-galanya berubah bila saya masuk ke ASWARA pada tahun 2007 dan belajar secara formal tentang teater. Saya mula mengubah impian itu untuk menjadi seorang pengarah dan penulis. Saya mula aktif dengan dunia layar perak sebagai pelakon sejak dari 2009 ketika masih belajar. Dengan tujuan sebenarnya untuk menimba pengalaman dan pengetahuan lebih dari orang yang lebih tahu dan terlibat dalam industri dan mempersiapkan diri saya sebagai seorang pengarah teater, dan membuktikan pada orang lain yang saya boleh berlakon kerana ramai orang masa saya belajar dulu kata saya tak boleh berlakon. Tapi sekarang saya sudah terlibat secara mendalam dan menjadi salah satu mata pencarian utama bagi menyara hidup.


2.Selain berlakon untuk skrin, mengapa saudara memilih untuk bergiat terus dalam bidang teater walaupun kebanyakan orang kata kerjaya teater tidak menguntungkan.

Saya akui, saya banyak berhabis duit untuk teater. Saya pernah rugi berpuluh ribu untuk projek-projek yang saya buat. Tapi bukannya tak pernah untung. Teater di malaysia bukan lagi dan belum lagi menjadi satu industri. Tapi saya percaya ia akan menjadi industri satu hari nanti. Yang penting ada orang seperti saya yang terus buat dan buat dan buat bagi memastikan teater terutamanya yang indipendent dan tak bergantung pada dana kerajaan ni akan terus hidup. Saya memilih untuk terus bergiat kerana saya punya impian – satu hari nanti saya tak perlu bergantung pada lakonan saya di dalam televisyen dan boleh menjana pendapatan dengan teater. Saya percaya saya kena terus buat dan buat kerana kalau saya berhenti, atau mula meminta dana dan subsidi kerajaan dari A hingga Z untuk sesuatu projek, teater tidak akan menjadi satu industri dan satu bentuk perniagaan. Kita boleh mengindustrikan teater. Tapi bukan sahaja saya, yang perlu buat ini, orang lain pun perlu buat. Lagi meriah lagi bagus. Baru orang ramai ada pilihan dan mahu keluar menonton.


3.Berdasarkan rujukan dan kajian santai saya, Zulaikha pada asalnya merupakan sebuah projek akhir semasa belajar di ASWARA. Ia dipentaskan beberapa kali dengan tajuk yang berlainan dan akhirnya akan ke Singapura dengan tajuk Zulaikha. Boleh ceritakan sedikit bagaimana ia berubah dan mencapai tahap kematangan seperti yang bakal dipertontonkan di Singapura nanti?

Ya, betul. Zulaikha adalah dari projek tahun akhir saya.  Ia dipilih sebagai projek tahun akhir saya kerana saya ingin mengkaji bagaimana karya yang punya terlalu ramai pelakon pada asalnya boleh dikurangkan pelakon, dijadikan karya komersial dan tidak terlalu ‘berat’ untuk tatapan masyarakat umum yang terdiri dari pelbagai lapisan pelajaran dan juga boleh dibawa jelajah untuk persembahan di mana sahaja. Maka terjadilah versi pertama dengan masih menggunakan nama The Crucible. Ditulis kembali dengan hanya menggunakan 7 orang pelakon sahaja dari 52 watak pada asalnya. Ketika itu masih takut untuk mengadaptasi sepenuhnya ke budaya dan agama Islam dari agama asal Kristian. Tapi bagus juga sebab dapat belajar banyak tentang Kristianiti. Dipentaskan kembali 2 tahun kemudian dengan nama Rugabadi dan telah diadaptasi sepenuhnya kepada budaya dan agama utama masyarakat di Nusantara ini. Ini berlaku kerana saya rasa saya sudah bersedia dan cukup kajian untuk mengubahnya ke bentuk itu. Apa yang menariknya dari versi kedua adalah bagaimana sebenarnya Islam dan Kristianiti itu tidak banyak bezanya. Dan bagaimana budaya dan kepercayaan masyarakat pilgrim di Amerika itu hampir sama dengan kita. Rugabadi menjadi Zulaikha adalah kerana saya ingin memfokuskan bagaimana peranan wanita dalam  budaya dan kepercayaan masyarakat. Dalam Zulaikha kita boleh lihat bagaimana kata-kata wanita itu boleh menjadi satu inspirasi ataupun pengaruh buruk pada seorang, lelaki dan juga bagaimana wanita sebenarnya boleh menguasai dunia sama ada dengan cara baik ataupun cara jahat. Wanita adalah satu figura yang powerful dan hebat. Dan pertama kali saya mengarah secara berseorangan untuk persembahan di tempat yang terbuka dan bukan di dalam panggung konvensional.


4.Bagaimana pendidikan formal yang anda timba dalam bidang seni membantu kerjaya seni anda? Adakah anda bersetuju bahawa kerjaya seni bergantung sepenuhnya pada bakat? Atau bakat dan rupa? Atau bakat dan ilmu? Atau ketiga-tiganya sekali?

Satu ketika dahulu ketika di ASWARA saya telah diberitahu  oleh guru-guru dan juga rakan-rakan saya yang saya tidak boleh berlakon, tidak punya bakat dan tidak akan seorang menjadi pelakon yang bagus atau hebat di kaca tv mahupun di atas pentas. Saya lebih baik menjadi seorang pengarah atau sinografer. Saya sedih kerana guru saya Ahmad Yatim pernah berkata yang saya perlu menjadi seorang pelakon yang hebat untuk saya jadi pengarah yang bagus. Jadi semasa di ASWARA saya menimba ilmu tentang bayak teknik lakon secara membaca atau pun belajar dengan guru. Saya mengambil kelas di luar dari ASWAWA tentang lakonan fizikal untuk teater fizikal, saya belajar dengan guru-guru yang terlibat secara langsung dengan industri filem dan TV, saya belajar, belajar dan terus belajar tentang lakonan. Saya belajar tentang suara dan banyak lagi. Semuanya untuk mempersiapkan diri saya sebagai seorang pengarah yang baik, sekurang-kurangnya kalau tidak pun hebat. Ia pendidikan yang tidak formal. Dan akhirnya berkat kesabaran, saya sekarang dikenali sebgai seorang pelakon layar yang punya kualiti dalam lakonan. Dan saya percaya kata kata cikgu saya, saya tidak berbakat, tetapi kerana kata-kata itu telah buat saya work hard dan berusaha mencari ilmu.

Pointnya untuk cerita di atas adalah, ilmu itu sangat penting. Jangan risau kerana ketiadaan bakat atau rupa. Itu tidak menghalang apa-apa. Jika ada ilmu, segalanya mungkin. Pendidikan formal itu satu hal. Yang tidak formal jangan dilupakan. Kalau berkata tentang rupa, iya saya akui saya ada sedikit rupa (chewah) tapi ia tidak pernah menjamin apa-apa pun kerana ramai yang lebih hensem dari saya kat luar sana tu, percayalah. Tetapi ilmu kalau tidak ada dalam dada, anda akan tenggelam - walaupun berbakat besar. Saya sudah lihat semua itu. Saya sudah lihat bagaimana seorang pelakon yang berbakat besar punya suara yang baik untuk pentas tetapi akhirmya tidak mecapai apa-apa dalam karya lakonan. Jadi jangan lupa untuk terus menuntut ilmu.


5.Apa pandangan anda mengenai teater tempatan 5 tahun lalu, sekarang dan 5 tahun akan datang?

Masa 5 tahun dulu  masa saya masih di ASWARA, ia agak meriah. Lepas tu banyak grup yang tak buat dah. Saya bercakap tentang banyak grup teater berbahasa Melayu. (Tolak tepi Istana Budaya sebab ia sebuah tempat pementasan sahaja dan bukannya aktivis yang buat pun di sana). Lepas tu banyak yang senyap. Dah tak buat. Tak mahu buat. Banyak yang saya tanya sebab kekangan duit  dan dah ada kerjaya tetap yang boleh bagi duit. Dah sibuk. Sekarang macam bercambah balik. Alhamdulillah. Bagus. Dan saya harap lebih banyak lagi graduan-graduan akan terus buat grup-grup baru dan wujudkan persaingan sihat dalam pembuatan teater. Barulah lagi 5 tahun lagi ia boleh jadi industri kreatif.


6.Kata-kata akhir yang anda mahu kongsikan dengan pembaca lain.

Kepada semua pembaca blog ini, teruskan menuntut ilmu tak kira dalam apa pun bidang yang anda nak ceburi. Jangan sombong untuk ditolong dan menolong orang lain dengan ilmu anda. Teruskan menyokong seni teater tempatan. Kepada graduan-graduan seni persembahan yang jobless dan tak ada orang nak ambil awak berlakon ataupun buat sinografi atau mengarah, jangan putus asa dan jangan menyerah kalah dan tukar karier lain. Kami yang bergiat sekarang perlukan orang macam anda untuk mengindustrikan teater. Buat dan terus buat.

Review: 1984: Here and Now

$
0
0
(Satu-satunya gambar dalam panggung yang saya dapat tangkap. Sepanjang pementasan tidak dibenarkan menangkap gambar. Jadi saya patuh pada peraturan)

(Saya bersama penulis, Kee Thuan Chye sebelum pementasan bermula)

Sepanjang saya menceburkan diri di dalam teater, saya banyak membaca karya-karya penting negara yang ditulis oleh ramai penulis negara. Pendidikan formal dalam bidang teater di Malaysia mendekatkan saya dengan karya-karya penting ini. Kebanyakannya karya-karya dalam bahasa Melayu. Selain bahasa Melayu, ada juga didedahkan dengan penulis-penulis dalam bahasa Inggeris. Antara nama yang sering disebut-sebut adalah Ke Thuan Chye. Saya kira ini pun diperkenalkan oleh pensyarah saya ketika saya di tahun pertama pengajian Diploma Teater di UiTM. Namun, sebagai pelajar pada ketika itu, nama ini sekadar melintas di dalam helaian nota sahaja dan tidak langsung memberi kesan kepada saya untuk mengamati tulisan beliau.

Saya pernah membaca 1984: Here and Now tulisan Thuan Chye lama dahulu. Namun, butir adegannya hilang ditelan masa. Apabila saya mendapat perkhabaran melalui Facebook mengatakan bahawa teater ini akan dipersembahkan kembali, saya tidak teragak-agak untuk menyaksikannya buat pertama kali. Yang lebih menarik, ia dipentaskan dalam bahasa Mandarin, iaitu bukan bahasa yang saya faham. Namun, perdirian saya untuk menonton naskhah ini tebal dan saya fikir, menonton teater perlu melampau batas bahasa. Saya sangat-sangat percaya bahawa bahasa teater adalah aksi dan emosi. Kita boleh memahami cerita dengan mengikuti aksi dan emosi. Kata-kata dan dialog adalah sumber maklumat sahaja.

Jadi, saya merancang untuk datang menonton pada 30 Julai 2016 persembahan malam. Namun, apabila sampai di sana bersama Ridhwan dan Aizam, pementasan sudah pun bermula selama setengah jam. Kai mengambil keputusan untuk membatalkan keputusan menonton pada malam itu dan datang kembali pada persembahan matinee 31 Julai.

Siang besoknya, saya datang berempat (ditambah kehadiran kekasih, Siti Sandi). Saya kira, kehadiran saya pada persembahan matinee adalah berbaloi. Sebelum persembahan bermula, penulis yang berseluar pendek kargo dan berbaju produksi dengan tulisan 1984 di hadapan menghampiri kami. Thuan Chye kelihatan keliru dengan kehadiran kami menonton teater berbahasa Mandarin. Sebelum itu, dia bertanya kami datang daripada mana, dan saya jawab saya daripada Aswara (dia sangka kami pelajar). Kemudian memberitahu kami bahawa persembahan akan dipentaskan di dalam bahasa Mandarin. Saya jawab, saya tidak faham bahasa Mandarin tetapi tidak mengapa. Kemudian dia saya meminta beliau untuk menandatangani buku skrip 1984: Here and Now yang saya beli. Sempat saya bertanya samada teater ini pernah dipentaskan di dalam Bahasa Melayu atau tidak dan dia nyatakan tidak. Dia juga berharap ianya akan dipentaskan di dalam bahasa Melayu suatu hari nanti.

Memasuki ruang Black Box New Era College mengingatkan saya dengan interior Stor Teater DBP. Dengan ruang yang intim dan kecil, ia memberi halwa subversif - sama jiwanya dengan Stor Teater DBP. Aizam juga setuju interior panggung ini sama seperti Stor Teater DBP. 

Teater ini bukanlah teater dalam bahasa Mandarin pertama yang saya tonton. Pertama dahulu menonton di DPAC. Karya bertajuk Chronology on Death yang 90% menggunakan bahasa Mandarin. Namun, persembahan tersebut menyediakan sarikata di kiri dan kanan pentas untuk pemahaman dialog. 1984: Here and Now tidak menyediakan sarikata. Jadi saya bergantung sepenuhnya dengan aksi dan ingatan-ingatan adegan berdasarkan skrip yang saya telah baca. 

Saya enjoy dengan persembahan para pelakon. Melihat pelakon-pelakon melakonkan watak kaum Melayu sungguh mengujakan. Saya kira, banyak sudah sketsa-sketsa atau pementasan dalam bahasa Melayu, jika ada watak kaum Cina atau India, pelakon kaum Melayu yang memerankan watak tersebut. Dan ini pertama kami saya tonton persembahan dalam bahasa Mandarin dan melihat kaum Cina memeran watak kaum Melayu namun segala dialog di dalam bahasa Mandarin. Pelakon-pelakon adalah terdiri daripada pelajar-pelajar di New Era College dari Jabatan Drama dan Visual. Mereka kelihatan begitu komited terhadap watak yang dibawa tanpa judgement mentah terhadap perwatakan. Hal ini juga memberikan kesan terhadap tona dan tekstur persembahan ini. 

Apabila membaca skrip (yang ditulis asal dalam bahasa Inggeris), saya merasakan ia akan menjadi sebuah komedi gelap. Namun, sepanjang persembahan berlangsung, jarang sekali saya dengar penonton ketawa. Mungkin di sini saya tertinggal dari segi bahasa. namun, pertukaran tona persembahan ini juga dibuat dengan baik oleh Loh Kok Man (pengarah). Kemungkinan ia dibantu dengan gaya lakonan yang konsisten dan terkawal oleh semua pelakon. 

Selain itu, muzik dan audio sangat membantu dalam mengekalkan tona persembahan. Bagi saya yang gagal memahami dialog, maklumat-maklumat dari segi visual dan audio sangat-sangat membantu memberikan kesan emosi terhadap pementasan sekaligus mengikuti persembahan.

1984: Here and Now menggunakan khidmat Fairuz Sulaiman sebagai video artist. Saya tidak pernah menonton hasil kerja Fairuz tetapi sering mengikuti hasil kerja dan eksperimentasi  (yang banyak bermain dengan skrin, wayang dan projektor) menerusi laman sosial. Menerusi teater ini, garapan video yang dihasilkan oleh beliau juga menarik dan kreatif. Dengan mobiliti set dan projektor memberikan banyak ruang kepada eksplorasi projektor dan imej di dalam persembahan ini. Dua set kotak yang besar seperti TV ini boleh bergerak di atas pentas sekaligus menjadi set penting dalam naskhah ini. Ia seolah-olah TV besar dengan imej Big Brother yang sangat-sangat berkuasa. 

Pementasan berakhir dengan rakaman interview yang dibuat bersama penulis menceritakan sedikit penghasilan naskhah ini 31 tahun yang lalu. Interview dibuat di dalam bahasa Inggeris. Beliau juga menyatakan bagaimana sambutan yang dia dapat selepas pementasan tersebut daripada orang yang menonton dan juga dari pihak berkuasa tempatan. Nama Kee Thuan Chye menjadi buah mulut pegawai di bahagian perlesenan pada ketika itu dan menyebabkan kesukaran beliau untuk mementaskan teater lagi. Namun, tambahnya lagi, dia berharap agar teater yang dipersembahkan di dalam bahasa Inggeris dulunya kepada komuniti urban bandar dapat dipentaskan di dalam bahasa lain untuk mendapat bilangan penonton yang lebih ramai. Dia turut berhasrat supaya ia dapat dipentaskan di dalam bahasa Melayu.

p/s: Kalaulah saya berpeluang mementaskannya di dalam bahasa Melayu, saya nak tukar watak Big Brother kepada wanita dengan nama Bik Berada. 

Poster-poster Teater

$
0
0
Saya percaya poster adalah sebuah tingkap untuk persembahan teater. Melalui poster kita tahu serba sedikit mengenai persembahan yang bakal berlangsung. Ada orang pandang ringan sahaja tapi ada juga orang yang mengambil berat. Rekaan poster dianggap satu garapan seni yang penting. Pereka poster walaupun tidak terlibat secara langsung dalam produksi teater turut memainkan peranan penting dalam membuka 'tingkap' persembahan ini. Melalui 'tingkap' ini, bakal penonton boleh dapat tahu maklumat - info tiket, website, lokasi dan tarikh, boleh agak-agak tone teater tu- kelakar ke, deep shit ke, drama ke, muzikal ke, absurd ke dan sebagainya.

Ada orang tengok poster je, terus membangkitkan rasa nak pergi tengok. Ada yang tengok poster, tapi poster tu buruk dan terus tak nak tengok dah. Ada yang jenis jual pelakon letak muka pelakon kat poster. Biasa ini dibuat kalau diroang dapat pelakon popular dan ramai pengikut. Yang jual cerita biasa lebih konseptual sikit poster mereka. 

Malas nak cerita panjang, untuk tahun ini sahaja, banyak gila pementasan teater berlangsung di sekitar Kuala Lumpur. Dari panggung besar gedabak Istana Budaya, ke saiz sederhana untuk komuniti macam KLPAC dan DPAC ke ruang kecil Bilik Sempit Revolution Stage. Entri ini bukan review teater, tapi sekilas pandang poster-poster teater terkini di Kuala Lumpur.


Teater ni dah tamat persembahannya. Tapi aku suka poster ni. Macam ada feel gothic. Guna muka pelakon tapi diconteng. Perkataan traitor (pembelot) tu agak power juga diletak kat mulut tu. Tambah pulak dengan font jenis macam tu. Bagi feel macam jahat je. Aku tak sempat tengok show ni. Tapi dari segi poster memang menarik perhatian aku untuk pergi tengok show ni.



Poster ni simple. Keris yang berdarah. Kat poster pun dah tulis adaptasi daripada Macbeth karya Shakespeare. berdasarkan maklumat dan imej ikonik tu, kita tahu dah ini macam Macbeth versi Melayu. dengan penggunaan keris, tukar tajuk ke Dato' Seri lagi. Genre tragedi ni sangat mudah gaya penyampaian visualnya. Darah je dah bagitahu kita cerita dah yang cerita ni melibatkan pembunuhan dan kematian. Background hitam bagi aku, nak tekankan tone cerita ni macam mana. Aku tengok persembahan ni, dan aku rasa, aku dapat maklumat yang baik daripada poster.



Bagi sesiapa penggemar teater, Hamlet ni kira naskhah wajib baca. Oleh itu, kita tahu apakah karektor-karektor yang ada dalam poster ni. Tapi untuk yang penonton biasa, saya tak pasti apa yang dia akan tengok. Poster Hamlet ni pada saya biasa je. Tak banyak maklumat yang dapat kita cari. Macam saya cakap awal-awal tadi, poster ni macam tingkap. Jadi, tingkap Hamlet ni, macam tingkap yang kecil untuk saya jengah. Warna merah dan hitam sekali lagi jadi taruhan untuk produksi yang dipentaskan di KLPAC ni. Tapi aku boleh puji untuk poster Hamlet versi KLPAC ni. Biasa kalau google Hamlet, mesti imej yang banyak keluar adalah tengkorak. Tapi untuk poster ni, tengkorak tak di-highlight-kan. Ada kat dalam poster tapi disembunyikan sedikit. So, dari poster, Faridah Merican (pengarah teater ni) mungkin nak tekankan aspek hubungan Hamlet dan mak dia, Getrude, since poster letak dua watak ni di tengah-tengah. Mungkin. saya agak-agak saja. Teater ni baru sahaja dibuka pada hari Khamis (4 Ogos 2016) yang lalu dan masih dipersembahkan sehingga hari Ahad ini di KLPAC. Boleh klik poster untuk detail.



Ini poster untuk teater yang dipentaskan di IB hujung bulan Julai yang lalu. Juga tidak berkesempatan untuk saya tonton. Macam saya cakap juga tadi, teater ini guna muka pelakon untuk tujuan promosi. Berdasarkan poster, saya tak dapat tangkap ini cerita pasal apa melainkan pelakon yang menjayakan pementasan ini. Dari tagline "dulu atau sekarang sekalipun, kekejaman sering berlaku" juga tidak dapat memberikan sebarang maklumat mengenai kisah ini. Untuk yang tidak melihat atau mengingati filem Lela Manja, tentunya akan clueless. Jadi, boleh jadi, produksi ini memang mengharapkan pelakon untuk jualan tiket dan bukan cerita. Tapi what do you expect, Istana Budaya kot...



Ini salah satu teater yang dipersembahkan bukan di dalam panggung konvensional. Teater ini akan dipentaskan di beberapa stesen utama Keretapi Tanah Melayu (KTM). Teater ini adalah siri jelajah Khalid Salleh di serata Semenanjung. Khabarnya, Wak Khalid sebelum ini telah mejelajah beberapa sekolah dan pesantren di Indonesia membawa naskhah yang sama. Tidak dapat dipastikan mengapa Wak Khalid memilih stesen keretapi. Baiklah terus ke hal poster. Kat poster, separuh dipenuhi dengan imej Wak Khalid dilatari dengan warna pink dan jingga. Adakah Wak Khalid jual ubat kuat dan keintiman? haaa itu kita tak tahu. hehe. Oleh sebab saya dah pernah menonton, saya tahu ini cerita apa. Kalau orang yang baru pertama kali menonton, apakah agaknya tekaan mereka? Teater ini baru sahaja memulakan siri jelajahnya. Kalau nak tahu bila dia main di stesen KL, boleh tengok detail.



Berdasarkan poster yang guna warna-warna pastel ni, saya agak ini cerita yang sweet macam gula gittew. Walaupun tajuk-tajuk yang digunakan tak kena dengan warnanya. Mungkin pengarahnya nak tone down sikit tajuk-tajuk yang agak striking. Tiga-tiga tajuk teater pendek tu agak striking juga tu sebenarnya - secara literal dan juga tidak. Berdasarkan sejarah persembahan yang dibuat di Bilik Sempit Revolution Stage, yang sering mementaskan naskhah-naskhah yang gelap, bila tengok poster yang dibuat dengan warna pastel ni, buat saya rasa macam, "eh, RS ni boleh pula buat teater yang tak dark". Poster teater Taman Neapolitan ni, memang agak lain daripada teater-teater yang dipentaskan di Bilik Sempit RS. So, buat saya jadi tertanya-tanya. Tapi, teater ni bukan diterbitkan oleh RS pun. Cuma menggunakan ruang premis RS untuk persembahan ini. Adakah mungkin teater RS akan tampil dengan imej yang lebih 'cerah'?



Ini lagi satu teater Shakespeare tapi bukan dipentaskan di KLPAC tapi di Damansara Performing Arts Centre (DPAC). Hitam, merah dan darah. So, guess what? Tragedi!!! Bunuh! Mati! Dendam! Saya belum sempat menonton teater ini. Mungkin akan menonton hujung minggu ini jika berkesempatan. Untuk cerita Titus Andronicus, kita boleh google je. Tapi untuk teka dan agak-agak direction pengarah, kita boleh nilai melalui poster ini. Agak kabur juga untuk mengagak hala tuju pengarah. Tak banyak maklumat boleh dicari melainkan distorted visual of human face. Saya tak tahu samada kekaburan ini akan membuatkan saya untuk mencari pencerahan dengan menonton teater ini atau tidak. Namun saya secara peribadi suka dengan simplisiti yang ditonjolkan dalam poster ini. Poster yang saya rasa akan saya gantung dan simpan. Tapi saya masih curious, apakah direction teater ini? Poster ni ambiguous sangat.



Ini salah satu lagi teater yang akan dipentaskan di Bilik Sempit RS bertajuk Hochburg (Keranda). Mungkin in cerita mengenai kematian, roh yang menghantui dan dosa-dosa lampau. Saya cuma agak berdasarkan imej-imej yang digunakan di dalam poster. Ada keratan-keratan akhbar, imej wanita dengan reaksi kosong, penggunaan warna merah dan biru (hasilnya ungu?) yang bagi feel misteri sikit. Maklumat lain yang kita boleh peroleh melalui poster ini adalah tagline yang diletakkan di atas poster bertulis "sengaja aku tinggalkan sebiji untuk kalian tahu bagaimana penderitaan itu". Saya agak bahasa yang digunakan dalam teater ini seperti bahasa yang ditulis dalam tagline ini. Sekali tengok, saya tak rasa tertarik untuk menonton teater ini. Tidak mencetuskan tanda tanya yang besar. Tapi saya tetap akan pergi teater ini. Menarik atau tidak adalah citarasa peribadi sahaja.

Daripada lapan poster ini yang dipersembahkan dari bulan Jun 2016 (dimulai dengan Dato' Seri) hingga September 2016 (Penjual Ubat) 5 daripadanya banyak guna warna hitam. Tiga lagi warna yang agak terang (bukan hitam) dan kebetulan warna-warna 'manis' gittew. Untuk poster teater-teater lain, anda boleh tengok, perhatikan dan buat penilaian sendiri. 

Untuk persembahan yang masih dan bakal berlangsung, break a leg untuk persembahan anda nanti.

Sebelum kita tutup entri ini, apakah poster teater kegemaran anda? Boleh tinggalkan di ruangan komen. 

Pilihan saya Antigone! (Walaupun saya tak sempat tengok teater ini. Hahaha)


p/s: Segala kredit diberikan kepada pereka grafik poster-poster ini. 



Review Pukal Empat Teater (Bahagian I)

$
0
0
Selepas Ramadan habis dan menjelangnya Syawal, banyak pementasan teater yang dipentaskan di sekitar Kuala Lumpur. Sepanjang bulan Julai dan Ogos, tiba-tiba terlalu banyak persembahan yang dibuat. Mungkin para penggiat merasakan waktu ini adalah waktu yang sesuai untuk dibuat pementasan. Kalau anda baca entri sebelum ini yang membincangkan mengenai teater, anda akan dapat bayangkan betapa meriahnya suasana teater selepas raya ini. Tambahan pula tahun ini adalah ulangtahun ke 400 pemergian Shakespeare. Maka banyak juga pementasan yang berkaitan dengan Shakespeare dipentaskan.

Saya ada menonton beberapa buah teater yang tak sempat saya review satu persatu. Entri kali ini saya akan membuat review secara pukal dan tidak secara komprehensif. Namun, melalui review teater yang saya buat ini ada sesuatu yang menarik dapat saya perhatikan. Saya menonton teater skala besar sehingga kecil. Sepanjang bulan Julai dan Ogos, saya sepmat menyaksikan Taman Neapolitan dan Hochburg di Bilik Sempit RS, Titus Andronicus di DPAC dan juga Mencari Sumaiyah di Istana Budaya. Dari segi skala persembahan, agak lengkap, dari bilik yang hanya muat 40 orang ke panggung yang berupaya memuatkan 1400 penonton.

Sebelum saya pergi lebih lanjut, terdapat sesuatu yang menarik mengenai keempat-empat persembahan ini. Pertama tema cerita mereka yang binari. Binari ini tidak saya maksudkan membawa konotasi negatif. Tema yang agak structural ini merupakan tema yang diguna pakai sejak zaman berzaman. Dalam keempat-empat teater ini, tema structural ini jelas dirasai dalam Mencari Sumaiyah (kampung vs bandar), Titus Andronicus dan Hochburg(good vs evil). Kecuali Taman Neapolitanyang menampilkan tema cinta tak terucap. Namun masih ada sensasi binari.




Taman Neapolitanmerupakan sebuah antologi tiga teater pendek  yang bertemakan cinta tak terucap – Beromen, Shit Happen dan Neon. Dipentaskan pada hujung Julai di Bilik Sempit RS dan diterbitkan oleh Projek BB. Arsyad Adam bertindak selaku penulis dan diarahkan oleh tiga pengarah yang berlainan. Arsyad meneroka dunia percintaan yang tidak hanya terbatas antara lelaki dan wanita tetapi juga melangkau batas gender dan kelas. Keupayaan Arsyad menulis di dalam bahasa Melayu dan Inggeris merupakan satu kelebihan buat dirinya. Saya merasakan, dengan pendedahan terhadap teater dan naskhah drama bahasa Inggeris, Arsyad berjaya keluar daripada jenama Bilik Sempit yang kebiasaannya mementaskan naskhah-naskhah bahasa Melayu yang gelap. Melalui Shit Happens, yang menggunakan bahasa Inggeris dan Melayu, saya kira pelakon-pelakon ini bijak bermain bukan sahaja dengan dialog tetapi dengan tempo persembahan juga. Ini ditambah dengan keupayaan pelakon-pelakon untuk segmen ini berbahasa Inggeris dengan baik. Persembahan untuk dua lagi segmen agak lemah namun berupaya untuk menjadi lebih baik sekiranya pelakon-pelakonnya terus menerus menimba pengalaman.

Melalui tiga naskhah teater pendek yang ditulis Arsyad, saya kira beliau perlu menulis sebuah naskhah teater panjang untuk menguji stamina penulisan dan juga pengawalan naratif yang lebih mencabar. Tidak adil jika perbandingan dibuat antara tiga teater ini kerana masing-masing mempunyai cerita dan pendekatan yang berbeza. Namun saya secara peribadi menggemari Shit Happens. Nampak kematangan Arsyad dalam mengolah jalan cerita dengan limitasi pelakon dan ruang di atas pentas. Ceritanya tidak kompleks tetapi apa yang dialami watak lebih kompleks terutama watak wanita lakonan Izza. Untuk skala teater pendek seperti ini, Shit Happens memenuhi kriteria untuk sebuah naskhah teater pendek. Mudah, ringkas dan mengesankan. Untuk dua lagi naskhah saya kira, kapasiti idea untuk dua naskhah itu tidak dapat menampung skala dan durasi persembahan.


Sebuah lagi persembahan di Bilik Sempit adalah Hochburg. Hochburg adalah karya baru yang dihasilkan oleh Aim Zackry dan diterbitkan oleh Patblas Studio. Saya berasa ragu-ragu untuk menulis review untuk teater ini memandangkan terlalu banyak perkara yang menggusarkan saya. Saya kira ini adalah sebuah persembahan amatur yang perlu diperbaiki baik dari segi penulisan naskhah, pengarahah dan juga lakonan. Sukar untuk saya secara peribadi menyukai persembahan ini. Mengambil latar Jerman sudah cukup meresahkan jiwa saya yang selalu menantikan teater dengan citra nasional dan tempatan. Dengan itu, teater ini terus mengasingkan saya dengan realiti kita yang berada di Malaysia. Tiada rasa kepunyaan (sense of belonging). Namun saya tulis juga review ringkas sebagai peringatan kepada saya dan juga Aim Zackry. Mana tahu, beliau akan menghasilkan karya yang di luar jangkaan selepas ini.

(Bersambung di Bahagian II)

Review Pukal Empat Teater (Bahagian II)

$
0
0



Kita beranjak ke ruang yang lebih besar sedikit dengan teater Titus Andronicuskarya William Shakespeare yang dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC). Titus diarahkan oleh Christopher Ling dan diterbitkan oleh Theatrethreesixty dan The KL Shakespeare Players. Theatrethreesixty adalah salah sebuah kompeni teater yang masih muda dan telah mementaskan beberapa karya besar dan popular sejak ditubuhkan pertengahan tahun 2014. Dari Beckett dan Miller juga karya sebesar Angels in America. Melalui sambutan 400 Shakespeare, TheatreThreeSixty tidak ketinggalan mementaskan sebuah naskhah tragedi Shakespeare. The KL Shakespeare Players pula satu-satunya kompeni teater di Malaysia yang komited mementaskan karya-karya Shakespeare. Berdasarkan entri saya sebelum ini yang berbincang mengenai poster, saya menyatakan tentang keinginan saya untuk menonton teater ini kerana mahu melihat kerja-kerja pengarahan Christopher.

Satu perkara yang saya gemar apabila menonton Shakespeare yang dilakonkan bukan orang kulit putih ialah mereka tidak langsung berusaha untuk menjadi atau hidup di zaman Shakespeare. Demikian terjadi dalam Titus– pelakon hidup dalam persekitaran yang dicipta pengarah dan bukan hidup di dalam naskhah. Dunia yang dicipta oleh pengarah adalah dunia yang lebih rapat dengan kita. Watak-watak dibezakan dengan pakaian hujan (raincoat) dengan warna dan corak yang berbeza setiap satunya. Dengan bantuan bunyi guruh dan kilat, membuatkan kita sebagai rakyat Malaysia familiar dengan iklim dan cuaca naskhah ini. Sekaligus membuatkan kita rasa dekat walaupun naskhah asal ini mengambil latar Empayar Rom.

Sebanyak 11 pelakon menjayakan pementasan ini. Ada pelakon yang memegang banyak lebih daripada satu watak, pelakon wanita memegang watak lelaki dan tidak mengikut umur. Christopher dengan berani melakukan cross casting dan blind casting untuk watak-watak yang agak penting. Namun ternyata pemilihan pelakon ini sesuai dengan watak yang dibawa. Saya juga tidak rasa terganggu dengan konsep pelakon yang membawa lebih daripada satu watak. Di awal permulaan adegan, kita dapat lihat semua pelakon berpakaian serba putih masuk ke pentas dan menyarung kostum mereka di atas pentas. Di sini kita dapat tahu bahawa mereka hanya memainkan watak sahaja dalam naskhah ini.


Konsep ini seperti mengikut acuan lakonan Brecht namun ia tidak sama sekali menuju ke arah tersebut. Biarpun pelakon bertukar-tukar watak namun di akhir cerita, kita tidak dapat lihat para pelakon ini keluar daripada watak-watak yang dimainkan dan memulangkan kembali kostum yang mereka pakai. Mereka tidak kembali seperti awal kemunculan mereka (berpakaian serba putih) untuk menutup persembahan ini.

(Bersambung di Bahagian Akhir)

Review Pukal Empat Teater (Bahagian akhir)

$
0
0


Teater terakhir adalah Mencari Sumaiyah di Istana Budaya. Diterbitkan oleh Hyper Pictures. Agak sukar mencari maklumat mengenai teater ini walaupun ia sebuah produksi skala besar. Di luar panggung, buku program tidak dibekalkan. Di dalam poster tidak dinyatakan karya dan arahan melainkan nama-nama pelakon. Menurut carian google, teater ini diarahkan oleh Dira Abu Zahar.  Bertambah pelik, teater yang sepatutnya kredit utama diberikan kepada penulis, tidak mencatatkan nama penulis di dalam mana-mana bahan promosi dan bercetak. Setelah disiasat, teater ini ditulis oleh Junad M.Nor dan Haris M.Nor. Nama Junad M.Nor diumum sebagai penulis ketika sidang media. Disebabkan kekurangan masa untuk pra-produksi, banyak halangan yang mengganggu kelancaran persiapan pementasan ini. Namun, sebagai penonton halangan-halangan ini bukanlah sesuatu yang kami ingin ambil tahu.

Mencari Sumaiyahmenceritakan kisah empat gadis dari kampong yang mahu menempa kejayaan di bandar besar. Tema binari kampong-bandar, maju-mundur menjadi tema utama dalam cerita ini. Dengan tema yang struktural yang mudah seperti ini, penulis berjaya menawarkan jalan cerita yang mudah tetapi menarik. Ia bukan satu kisah klise yang mudah dijangka setiap babak. Pengawalan dan pengolahan cerita dibina dengan baik untuk skala pementasan seperti ini. Kewujudan setiap watak dalam naskhah ini juga berjaya menampilkan keunikan tersendiri. Setiap watak berpeluang untuk kita ketahui matlamat kewujudannya. Disebabkan pembahagian watak yang lebih adil, membuatkan berlaku kompleksiti yang menarik dalam pembinaan naratif setiap watak. Namun dengan pendekatan komedi ringan dan ala muzikal, kompleksiti watak dapat diringankan.

Saya fikir Mencari Sumaiyah bukanlah sebuah muzikal. Ia cuma menerapkan ciri muzikal tetapi tidak menggunakan format teater muzikal sepenuhnya. Pihak yang tidak bertanggung jawab telah menyalahgunakan terma muzikal dan memberikan tanggapan dan didikan yang salah kepada penonton. Label teater muzikal yang digunakan dalam teater ini hanyalah untuk tujuan publisiti. Dalam Mencari Sumaiyah, ada menampilkan adegan nyanyian dan tarian tetapi masih tidak cukup untuk dikategorikan sebagai teater muzikal. Sememangnya produksi yang mementaskan teater di Istana Budaya akan menerapkan nyanyian dan tarian sebagai pelengkap rencah untuk menarik perhatian penonton.

Untuk standard pementasan Istana Budaya, Mencari Sumaiyah menampilkan sesuatu yang berlainan. Kebanyakan pelakon yang berlakon mempunyai pengalaman pentas sebelum ini – samada berlakon dalam produksi skala kecil dan juga sederhana. Saya kira, disebabkan kebanyakan pelakon mempunyai pengalaman pentas, penampilan mereka di atas pentas memberikan persembahan yang lain kualitinya berbanding pelakon-tangkap-muat-casting-berdasarkan-berapa-ramai-follower-dekat-media-sosial-siapa-ramai-follower-dapat-berlakon. Mereka, terutamanya gabungan berempat Sherry Al-Hadad, Ruzana Ibrahim, Nadia Aqila dan Aisyah Hasnaa masing-masing melakonkan watak usahawan kampung yang ingin berjaya, memberikan persembahan yang baik. Masing-masing tahu untuk membantu rakan masing-masing menonjol dalam setiap adegan. Sebagai persembahan ensemble, mereka berempat memberikan persembahan yang baik. Senang kata, penampilan mereka berempat mempunyai tekstur yang menarik dan juga harmoni.

Penutup
Berdasarkan jumlah pementasan yang banyak ini, saya kira ini satu pertumbuhan yang menarik untuk diperhatikan. Penggiat teater dari skala kecil hingga besar sama-sama mementaskan teater di seluruh Kuala Lumpur. Namun, saya resah bila memikirkan betapa sukar mencari teater berkualiti untuk ditonton. Berdasarkan citarasa saya yang agak memilih ini, keempat-empat teater ini masih gagal dianggap teater yang baik dan sempurna. Namun, saya masih optimis bahawa akan wujud teater yang sangat baik dalam lambakan produksi teater di Malaysia di masa akan datang. Diharap dengan lambakan ini akan wujud kesedaran untuk menghasilkan teater yang bukan sahaja menguntungkan tetapi membawa suara.

Apa yang boleh dibanggakan adalah melihat pementasan ini dari aspek perniagaan. Kesemua teater ini diniagakan dan ada penggiat teater yang menjana pendapatan melalui perniagaan ini. Untuk mereka yang terlibat dalam showbiz,  sudah tentu dengan persembahan yang banyak ini memberi peluang pekerjaan kepada mereka dan sekaligus dapat kekal mencari pendapat menerusi kerja-kerja teater. Namun, jangan pula nanti, semua benda diniagakan sehingga menggadai seni pada wang ringgit.

Menghadiri Borak Arts 2016

$
0
0

Ketika saya menulis catatan ini, saya berada di dalam sebuah tren menuju ke Kuala Lumpur dari Stesen Tren Butterworth. Saya ke Georgetown kerana menghadiri Borak Arts Series anjuran MyPAA, sebuah acara seni berbentuk konferens membincangkan tentang seni rantau Asia Tenggara dan isu-isu sekitarnya. Ini merupakan pengalaman pertama saya hadir ke acara seperti ini walaupun penganjurannya telah dibuat beberapa tahun yang lepas. Perjalanan pulang dari Butterworth ke KL mengambil masa selama lebih kurang empat jam dan saya akan isikan masa itu dengan menulis catatan ini, menceritakan pengalaman saya menghadiri Borak Arts.

Sebelum pergi, saya tiada idea apa itu Borak Arts. Berdasarkan program dalam laman web, ia sebuah acara untuk borak-borak tentang kegiatan seni dari pelbagai perspektif (ekonomi, komuniti, pendidikan dll) yang berlangsung secara kompak dan komprehensif selama dua hari. Borak Arts adalah sebuah acara daripada acara utama Georgetown Festival, anjuran kerajaan negeri Pulau Pinang.

Untuk Borak Arts Series 2016, saya cuma memerhati dan buat kawan. Menarik juga topik-topik yang diutarakan. Saya kira topiknya agak meluas daripada pelbagai perspektif dan merangkumi pelbagai negara tetapi masih terkawal. Salah seorang speaker yang saya gemari adalah Joanna daripada USA membentangkan pendekatan yang beliau gunakan dalam mendekati masalah-masalah di negara-negara berkonflik. Menerusi Bond Street Theatre, beliau menjelajah ke negara-negara berkonflik (Afghanistan, Myanmar) dan menggunakan teater sebagai satu alat mengeluarkan mereka daripada trauma selepas perang.

Kemuncak acara Borak Arts adalah segmen PitchPad di mana produser atau pengkarya berkesempatan untuk membentangkan idea persembahan (yang pernah dibuat, masih dalam proses atau belum dibuat) di hadapan beberapa pengarah festival di serata dunia. Pembentangan idea yang menarik, mungkin akan dipelawa oleh pengarah festival dari mana-mana negara untuk dipanggil membuat persembahan sebahagian daripada festival. Dengan adanya platform seperti ini, ia bukan sahaja memberikan ruang kepada produser atau pengkarya untuk hadir sendiri membentangkan kertas kerjanya tetapi menjadikan Georgetown sebagai hub seni untuk karya-karya baru dan terkini. Saya sempat mendengar beberapa kompeni yang membentangkan idea mereka dan saya kira, mereka ini tampil dengan idea-idea segar yang wajar dipertontonkan di di mana-mana festival seni berkaitan.

Malam sebelum segmen PitchPad ini, saya hadir ke persembahan Moved by Padi karya Aida Redza. Saya diberitahu, Moved by Padi adalah salah satu karya yang melepasi peringkat pembentangan idea PitchPad pada tahun lepas dan diberikan dana produksi, di mana Georgetown Festival telah memilih karya ini untuk dipentaskan menjadi sebahagian daripada acara seni terbesar negara ini. Saya kira, ini adalah salah satu pelaburan yang sangat baik. Moved by Padiadalah sebuah persembahan terbaik yang saya tonton setakat ini di Malaysia. Ia dijayakan oleh orang yang betul-betul tahu akan kerja kraf seni persembahan. Persiapan ini memakan masa selama setahun dan penyelidikan dibuat bukan sahaja dari aspek persembahan tetapi dari segi agricultural. Padi ditanam di tengah-tengah bandar Georgetown untuk dijadikan pentas persembahan. Set dibina di sawah artifisial ini, lampu-lampu dan speaker-speaker dipacak mengelilingi pentas. Konsep instalasi agak radikal kerana bukan sahaja mereka installkeperluan pentas di kawasan bukan pentas, tetapi tanam (baca: install) padi sebenar supaya pengalaman menonton bukan seperti menonton persembahan di ruang konvensional. Moved by Padi adalah sebuah persembahan yang secara visual sangat-sangat mengujakan. Saya tidak berapa faham dengan persembahan tersebut tetapi saya kira, persembahan tersebut bukanlah dipentaskan untuk difahami tetapi untuk dirasai.

Saya sempat berjumpa dengan ramai kenalan baru dan lama di dalam bidang seni persembahan di Malaysia dan juga negara serantau. Saya cukup teruja apabila bertemu empat mata dengan Kathy Rowland dan berborak-borak. Saya kira, pertemuan ini sangat bermakna kerana sekurang-kurangnya dia tahu, saya wujud dan kemungkinan kolaborasi kerja di masa akan datang. Tentang apa yang bakal berlaku kemudiannya tak perlulah saya kisahkan. Namun, saya percaya ia adalah sebuah pertemuan yang sangat-sangat bermakna.

(Nota: Disebabkan keterujaan saya yang sukar dikawal, saya macam geram apabila ada orang tak mengenali Kathy Rowland. Saya perlu kawal perasaan teruja saya lain kali, yang kadang-kadang membuatkan saya agak kurang sopan.)

Saya juga jumpa Azzad  dan Shufitri, dan berborak dengan panjang sekali selepas menonton Moved by Padi sehingga lewat malam. Kami berborak sambil berjalan kaki dari Lebuh Macullum sehingga Lebuh Chulia. Kami singgah makan di warung char kuey teow kegemaran saya (saya tahu tempat pada tahun 2015, lawatan saya sebelum ini), dan berborak. Kemudian disertai Hana Nadira yang baru balik menonton persembahan Triptique, dan turut bersama kami makan char kuey teow. Perbualan kami berlima (saya, Azzad, Shufitri, Hana dan Arief) adalah sekitar tentang teater-teater yang kami suka, tak suka, yang kami terlepas tonton, yang kami sempat tonton dan macam-macam lagi. Malah, selepas kami berpisah balik ke hostel masing-masing, saya turut sambung borak dengan Azzad dan Shufitri hingga larut malam di hostel tempat saya menginap. Borak tentang teater tidak pernah sebaik ini sepanjang hidup saya.

Apa yang menarik mengenai trip ke Penang pada kali ini adalah tentang pertemuan. Saya bukan sahaja bertemu ramai orang hebat tetapi dengan persembahan yang hebat. Saya optimis bahawa di masa akan datang, Georgetown Festival dan Borak Arts mampu menjadi sebuah acara penting di rantau Asia Tenggara dan menjadi satu pusat sehenti orang lain untuk mengenali seni dan budaya di Asia Tenggara.


Saya menanti Borak Arts Series 2017 dan Georgetown Festival 2017 dan berharap pertemuan sebegini dapat dibuat sekali lagi.

(Nota: Keseluruhan tulisan ini ditulis pada hari kepulangan saya ke Kuala Lumpur di dalam tren ETS supaya saya dapat mengekalkan keterujaan saya dan sedikit editing (lebih kurang 1%) pada 31 Ogos 2016 untuk penambahbaikan dari segi garapan ayat.)

Review 73: Gadis Jalan Burmah

$
0
0





Gadis Jalan Burmah: Tragedi Wanita Moden atau Komedi Gadis Keliru?

Pada 6 – 9 April 2017, pementasan bertajuk Gadis Jalan Burmah telah dipentaskan di Kotak Five Arts Centre yang terletak di TTDI. Ditulis oleh Redza Minhat, naskhah ini pernah dipentaskan sebanyak dua kali – pertama kali pada tahun 2006 (lakonan Soefira Jaafar) dan kali kedua pada tahun 2008 (lakonan Sherry Al-Hadad). Untuk pementasan kali ketiga ia dilakonkan oleh Farah Rani, diarahkan oleh Ashraf Zain dan diterbitkan oleh produser muda Syarifah Alesya. Di era millennial ini, ada beberapa naskhah lain yang mengangkat wanita sebagai protagonis. Antaranya adalah Laut Lebih Indah Dari Bulan (oleh Namron), Emily of Emerald Hill (oleh Stella Kon) dan (A Modern Woman Called) Ang Tau Mui (oleh Leow Puay Tin). Gadis Jalan Burmah bolehlah dimasukkan di dalam kategori ini sekaligus boleh membawa banyak persoalan similar tentang aspek tentang modeniti, feminism, identiti dan fungsi gender.

Gadis Jalan Burmah boleh dibaca sebagai sebuah tragedi untuk wanita moden. Kartini Shuib digambarkan sebagai seorang wanita lanjut usia yang menjalani kehidupan moden yang belum berkahwin dan tinggal bersama ibunya yang suka mendesak, di Butterworth, Pulau Pinang. Cerita ini dilatarkan di sebuah dapur ketika Kartini menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke 42 tahun. Sedang dia membuat kek untuk harijadinya, dia menceritakan tentang kisah cinta lampaunya dan mengapa dia masih belum berkahwin lagi. Dia juga sedang berkira-kira untuk menelefon seorang agen insuran Kassim Rahman setelah didesak ibunya.

Kartini Shuib adalah watak yang sukar dan kompleks. Dibesarkan oleh ibunya seorang ustazah, dia menjalani kehidupan yang berlainan dan jauh dari tanggapan masyarakat. Kehidupannya agak bebas dan boleh dikatakan dia mempunyai determinasi dan keazaman yang agak kuat sebagai seorang wanita moden. Namun, dalam meniti arus kemodenan ini, dia masih terikat dengan tanggapan-tanggapan dan norma-norma masyarakat Melayu era millennial. Mengikut pandangan dan norma masyarakat, beliau seharusnya sudah berkahwin dan beranak pinak.

Ada sesuatu yang menarik mengenai naskhah ini. Gadis Jalan Burmah bercakap tentang kebebasan wanita Melayu Moden tetapi masih tidak bebas dan keliru dengan modeniti. Di awal-awal adegan lagi, kita sudah nampak Kartini Shuib yang menanggalkan bra ketika sampai di rumah. Ini adalah salah satu petunjuk kepada bentuk kebebasan fizikal yang Kartini mahukan. Ini juga menjelaskan perwatakan Kartini yang mahu bebas. Kartini merokok (lambang maskuliniti), minum alkohol (berdasarkan props yang mencadangkan), berdialog dengan bahasa campuran Melayu-Inggeris kolokial, pergi disko, menjalin hubungan cinta antara kaum (dengan pilot berbangsa Cina dan expat Amerika) dan banyak lagi petanda-petanda yang sekaligus menjelaskan perwatakannya yang bukan mewakili wanita-wanita Melayu yang konservatif. Kartini juga agak out-spoken. Kita percaya yang watak sebegini memang wujud. Dia kelihatan begitu selesa dengan dirinya yang menjalani kehidupan sebegitu. Tidak nampak kepura-puraan atau orang yang terkena kejutan budaya.

Namun, sebagai wanita yang inginkan kebebasan, usahanya hanya sekerat jalan. Inilah tragedi yang menimpa watak ini. Dia masih lagi tunduk dengan kehendak sosial berbanding memenuhi kemahuannya sendiri. Dia marahkan Mak Piah tetapi masih menurut kehendak ibunya. Di akhir pementasan, tanpa keazaman yang kuat, Kartini menelefon Kassim Rahman untuk mencuba-cuba meneruskan percarian jodohnya.

Namun, yang ditonjolkan melalui watak Kartini ini lebih mengelirukan sebenarnya. Kartini tidak layak dipanggil wanita moden sekiranya tidak mempunyai keazaman yang kuat. Sangkaan bahawa watak Kartini bolehlah disamakan visinya dengan watak-watak wanita karangan Henrik Ibsen, namun disebabkan dia patuh kepada kehendak keluarga dan tekanan masyarakat serta dirinya sendiri yang mahu mengikat ikatan perkahwinan, watak ini yang pada awalnya ingin bebas masih kekal terperangkap dalam persoalan budaya dan norma masyarakat. Ia menjadi keliru kerana perangkap ini bukan dibina oleh orang lain tetapi sifat dirinya sendiri yang tunduk dan akur kepada tekanan sosial dan psikologinya sendiri. Kartini tidak sedar yang nilai-nilai tradisi masih lagi terikat kuat dalam dirinya walaupun dia menjalani kehidupan yang penuh kemodenan.

Kisah-kisah percintaan yang terbenam menjadi nostalgia mengikat watak ini untuk menjadi bebas. Di akhir adegan, ingatan-ingatan Kartini terhadap semua bekas kekasihnya dimainkan dengan penuh dramatik dan memberi kesan psikologi kepada Kartini. Kartini bukan sahaja dibelenggu tekanan sosial, tapi persoalan psikologinya sendiri. Inilah yang ditegaskan bahawa pencarian Kartini untuk mencari kebebasan adalah usaha sekerat jalan. Ia menjadi komedi secara tiba-tiba kerana karektornya yang keliru. Kartini tidak punya tujuan hidup yang jelas. Gaya hidup moden yang diamalkan akhirnya cuma aksesori kerana tidak ditunjangi daya pemikiran yang bebas. Ia jadi komedi kerana watak Kartini yang telah jatuh ingin bangkit melawan tetapi terjatuh lagi – kali ini dalam keadaan yang lebih teruk – kelihatan dia mahu merancang masa depannya tetapi yang dilaksanakan adalah bukan rancangannya. Beberapa kali watak Kartini menegaskan (bukan secara satirikal) bahawa impiannya mempunyai ramai anak dan mahu memiliki Alphard – imej biasa sebuah keluarga besar. Ini menunjukkan dia tiada beza dengan wanita kebanyakan yang lain.

Lakonan Farah Rani sungguh dicabar di dalam naskhah ini. Namun, melalui watak Kartini Shuib ia bukanlah penampilan beliau yang terbaik. Saya pernah menonton beberapa hasil lakonan beliau sebelum ini yang ternyata lebih kompleks permainan lakonnya. Meskipun begitu, pengalamannya yang luas dalam sketsa dan improvisasi komedi, Farah sebagai Kartini berjaya menghidupkan jenaka-jenaka ringkas tulisan Redza tanpa terlalu berusaha. Barangkali sering digandingkan bersama, Farah faham benar dengan comedic timing yang ada di dalam naskhah ini.

Persembahan berlangsung selama lebih kurang 75 minit tanpa henti. Kehadiran penonton yang agak ramai memenuhi pementasan pada malam terakhir. Walaupun banyak pementasan berjalan serentak di panggung-panggung lain sekitar Kuala Lumpur, namun bilangan penonton yang banyak menjelaskan perkembangan aktiviti penontonan teater dewasa ini.

Lukisan Kucing Saya dan Hal Censorship

$
0
0


Ketika baru-baru kahwin, kami dapat beberapa hadiah perkahwinan. Tak banyak sebab kami pun buat majlis secara kecil-kecilan. Antara hadiah tersebut adalah bingkai gambar dan lukisan. Ada sepasang lukisan tu adalah khat geometri saiz kecil yang isteri saya mahu gantung di dalam rumah. Disebabkan rumah kami yang kecil dan masih belum kemas, kami tidak menggantungnya lagi. Namun, kami sudah merancang dinding yang mana akan dijadikan dinding gantungan. Saya menyarankan satu bahagian dinding untuk digantungkan semua artwork yang ada. Ini termasuk lukisan yang saya lukis sendiri, saya beli dan orang kasi saya. Sekarang ada beberapa yang tergantung di dinding tersebut. Antaranya adalah lukisan kucing di bawah ini.


Lukisan yang isteri saya minta diturunkan.

“Lukisan ni tak payahlah letak kat sini”
“Laa… Kenapa pula? Biar aja la.”
“Tak naklah. Macam hantu je”
“Hantu? Tu kan kucing.”
“Tak naklah. Mata dia macam mata setan.”

Saya bukanlah nak memperbesarkan hal ini tetapi saya sangat tertarik dengan situasi ini. Tertarik kerana bagaimana sesebuah lukisan itu boleh dilihat daripada pelbagai perspektif. Lukisan saya tidaklahseperti karya agung yang lain tetapi saya mengambil ini kerana ia adalah contoh domestic yang saya ingin kaitkan dengan apa yang berlaku di luar sana.

Saya pernah mengarah ‘Art’ karya Yasmina Reza yang turut membawa isu sebegini. Ada tiga karektor yang membincangkan tentang satu karya dan akhirnya menjurus kepada siapa diri mereka sendiri dan hubungan persahabatan mereka. Isteri saya melihat mata kucing ini bagai mata syaitan. Dan saya sebagai pengkarya tidak langsung bermaksud ingin melukis mata syaitan. Malah saya tidak pernah bertentang mata dengan syaitan lantas, saya tidak tahu bagai mana mata syaitan.

Dan pada 26 Mac 2017 yang lalu, saya telah menghadiri sebuah dialog meja bulat (walaupun tiada meja bulat) yang membincangkan tentang censorship yang berlaku di dalam seni visual di Malaysia. Dialog ini respon terhadap penurunan karya Pangrok Sulap yang dikatakan menyentuh sensitivity sesetengah pihak. Kes ini tidak kompleks mana pun. Anda boleh google di internet dan pastinya banyak cerita mengenainya telah ditulis.

Ada banyak lagi karya-karya seni visual yang diturunkan kerana mendapat desakan luar. Biasanya kurator atau pemilik galeri atau penerbit atau artis itu sendiri yang akhirnya akur dengan desakan dan menurunkan karya tersebut. Dalam dialog yang diadakan, rata-rata karya yang dikatakan sensitif itu diturunkan. Akibat daripada penurunan karya-karya ini yang tiada tindakan susulan dibuat, Five Arts Centre melakukan satu inisiatif untuk bercakap tentang hal ini dengan kehadiran pengkarya, pemilik galeri, orang awam (seperti saya), pengarah teater, curator dan ramai lagi. Namun, jumlah ini terkawal untuk membenarkan dialog ini menjadi dinamik.

Menghadiri dialog seperti ini merupakan sesuatu yang baharu bagi saya. Namun dengan kehadiran pengarah teater seperti Jo Kukathas yang menceritakan pengalamannya melayani kerenah censorship, dan bagaimana beliau secara kreatif dan tegas menyatakan pendirian seninya, saya rasa isu ini bukanlah isu seni visual semata-mata. Isu penapisan adalah isu semua pengkarya.

Dalam skala domestik, lukisan saya turut diminta untuk diturunkan kerana perbezaan perspektif dan tanggapan. Jika hal ini boleh berlaku di dalam rumah kami yang baru sahaja mendirikan rumah tangga, ia sudah tentu berlaku di dalam skala yang lebih besar – skala negara. Dan desakan yang diterima daripada pengkarya sudah tentu lebih hebat dan besar bersesuaian dengan skalanya. Namun, penapisan bukanlah jalan mudah untuk menyelesaikan masalah ini.

Saya percaya punca berlaku desakan dan tekanan untuk menurunkan sesebuah karya adalah kerana perbezaan perspektif. Ada karya-karya yang menjentik emosi kita – apabila kita lihat, kita rasa sedih atau gembira atau sayu dan sebagainya. Ada karya yang mengajak kita berfikir – memahami logik dan kekaburan. Ada yang sangat informatif, ada yang tersirat, ada yang keras, ada yang lembut dan banyak lagi. Ini semua kita nampak kerana memerhati dari teropong yang berbeza. Namun sudah tentu, pengkarya punya niat tertentu semasa menghasilkan karya mereka. Saya kira, ciri ini bukan tertakluk kepada seni visual semata-mata tetapi turut kita dapat dalam pelbagai cabang seni yang lain.

Masalah yang berlaku mengenai penapisan ini adalah kita melihat daripada perspektif yang berbeza dan tidak bersedia atau tidak mahu orang lain melihat ia dari perspektif yang lain juga. Ini andaian saya sahaja dan anda boleh bersetuju atau tidak terhadap perkara ini. contohnya, ada sesebuah karya yang anda lihat ia bermotifkan politik tetapi pada satu perspektif yang lain, ia membawa maksud yang lain. Kepelbagaian perspektif ini saya yakin menjadikan sesebuah karya itu bulat, lebih berdimensi. Untuk menjadikan ia lebih berdimensi memerlukan dialog-dialog lanjutan, kritikan, perbualan, sesi apresiasi dan banyak lagi. Menurunkan karya hanya akan menyekat banyak pengalaman lain terhenti dan ini sekaligus menyekat kemajuan pemikiran dan apresiasi itu sendiri.

Kadang kala, isu moral adalah isu yang paling sukar sekali ditangani. Sebagai contoh penggunaan bahasa kesat di dalam pementasan teater. Ada beberapa pihak tidak berapa senang dengan penggunaan bahasa kesat ini. Mereka meminta untuk menggantikan perkataan ini dengan yang lain. Atau adegan-adegan keterlaluan seperti yang terdapat di dalam naskhah Sarah Kane, contohnya. Saya pernah, ada pelajar mendatangi saya, meminta untuk mementaskan skrip ini. Saya sangat teruja kerana saya mahu melihat bagaimana mereka menangani adegan-adegan yang dianggap sensitif itu. Ini adalah cabaran utama sebagai pengkarya yang memegang jati diri dan percaya kepada moraliti. Namun, belum pun sempat karya ini dipentaskan, ada cadangan daripada beberapa pihak untuk tidak membenarkan karya ini dipentaskan. Satu kerugian pada saya kerana tidak dapat kreativiti pelajar ini dicabar bagi mendepani isu-isu yang dianggap sensitif. Mereka menganggap karya-karya sebegini tidak mencerminkan moral yang baik. Disebabkan tiada dialog dan hujahan mendalam, perbincangan tersekat dan mati.

Sepanjang pengalaman saya mementaskan teater, saya tidak pernah berdepan dengan masalah ini. Namun saya ada karya-karya teater lain yang disekat untuk dipentaskan. Namun saya berpendapat, melakukan kerja teater, saya punya banyak cara untuk mendepani permasalahan ini dengan kreatif.

Sebagai penutup untuk tulisan ini, saya kembalikan kepada kisah lukisan kucing saya. Lukisan kucing saya tidak diturunkan sehingga kini. Ia masih kekal di dinding. Sebagai pasangan suami isteri, walaupun kami punya pandangan yang berbeza, kami hidup di dalam rumah dengan penuh harmoni. I love you, Siti Sandi.

Mengenai Kongres Kebudayaan 2017

$
0
0


Budaya kosmetik: nampak cantik, isi tiada. Macam Kongres Budaya 2017.

Jika anda mengikuti Facebook saya tentu anda sedia maklum tentang hal-hal yang menarik perhatian saya sejak kebelakangan ini. Antara yang paling terkini adalah berkenaan dengan hal Kongres Kebudayaan yang diadakan pada tahun ini di UKM. Untuk bacaan retrospektif yang baik mengenai Kongres Kebudayaan, anda boleh baca tulisan daripada Faisal Tehrani yang menulis di laman web Malaysia Kini. <Klik pautan>

Saya mengetahui mengenai Kongres Kebudayaan kira-kira pertengahan bulan Mac 2017 yang lalu melalui kiriman gambar dan status di Facebook oleh rakan-rakan seni dan budaya yang menghadiri acara yang dinamakan Pra-Kongres. Berdasarkan pertanyaan saya pada ketika itu, Kongres Kebudayaan akan diadakan pada 15 April di UKM. Saya bukanlah budayawan yang aktif tetapi saya mengambil tahu hal ini kerana saya bekerja di dalam lingkungan kerja budaya dan seni. Menjadi guru teater pula. Jadi adalah sesuatu yang tidak waras (pada fikiran saya) untuk tidak mempedulikan hal ini.

Saya sedia maklum bahawa Kongres Kebudayaan yang diadakan pada tahun 1971 dulu memberi kesan kepada hal-hal teater pada ketika itu. Dramatis hebat tanah air sentiasa memberikan respon yang aktif terhadap perkembangan budaya, seni dan pemikiran kritis melalui drama-drama mereka. Jadi, saya fikir, melalui Kongres Kebudayaan yang baharu ini, saya perlu mengambil tahu apa yang dibincangkan supaya dapat mengikuti agenda semasa hal kebudayaan dan kesenian negara.

Saya, apabila mendapat tahu mengenai pra-kongres tersebut agak berang kerana tiada barisan budayawan muda yang menghadiri membentangkan dan membincangkan hal-hal lingkungan budaya dan seni. Adakah ini satu penyataan bahawa golongan muda tidak berbudaya dan tidak layak untuk bercakap mengenainya? Perspektif budaya yang dibincangkan hanya satu perspektif dan sehala sahaja walhal persoalan budaya ini adalah persoalan sejagat tidak kira usia, gender, kaum dan agama. Saya sudah syak sesuatu yang hanyir.

Dan menjelang hari Kongres Kebudayaan, saya menjangkakan inilah harinya di mana hal-hal dalam kongres dibincangkan. Perbincangan mengenai hala tuju, permasalahan, cadangan, cabaran dan segala macam hal lagi. Saya mendapat surat jemputan yang dialamatkan ke rumah dan membuat keputusan untuk hadir. Fikir saya, mungkin mereka menyedari bahawa saya (orang muda) perlu memberikan input dalam kongres ini.

Inisiatif yang diterajui oleh penasihat sosio-budaya kerajaan Malaysia, Rais Yatim (maaf, saya sengaja menanggalkan darjah kebesaran yang beliau miliki) rupa-rupanya telah berlangsung dalam beberapa siri pra-kongres yang diadakan sebelum kemuncak acara yang dinamakan Kongres Kebudayaan. Di dalam ucapannya, Rais Yatim mengatakan pra-kongres ini sudah berjalan selama beberapa siri (5, 6 siri – saya kurang pasti). Yang diadakan di UIAM pada bulan Mac itu adalah yang terakhir sebelum acara besar di UKM. Dalam aturcara majlis, dinyatakan akan ada pembentangan daripada 6 orang yang dijadualkan bermula jam 9am – 10am, sebelum kedatangan Perdana Menteri Najib Razak. Detak hati saya, cukupkah masa untuk enam pembentang ini bercakap dalam masa 60 minit.

Namun, janji tinggal janji, pembentangan ini tiada. Hanya acara menyanyi, berpuisi, menari dan muzik yang dijadikan santapan budaya sementara menunggu kehadiran Najib Razak.

Saya ditipu. Acara tersebut rupa-rupanya adalah hari di mana resolusi yang telah dibincangkan dalam semua pra-kongres disampaikan kepada PM Najib dan bakal dihantar kepada DYMM Agung. Kedatangan ramai budayawan, wakil NGO, ahli akademik, pelajar dan orang awam hanyalah sebagai penonton untuk menyaksikan penyerahan resolusi dalam acara yang dilihat gilang gemilang.

Melalui 11 resolusi yang dinyatakan, saya berpendapat tiada sesuatu yang baharu pun cuba disampaikan. Ia semacam isi karangan pelajar tingkatan 5 yang bercakap mengenai hal-hal budaya. Ia terlalu umum dan semua orang sudah sedia maklum akan hal ini. Rais Yatim dalam ucapannya – dan juga di dalam buku program yang diedar di dalam beg cenderahati – beberapa kali bercakap tentang tandas kotor, budi bahasa dalam bicara dan sudah tentu penghayatan budaya Melayu. Saya seperti tidak percaya yang hal ini perlu dibincangkan sehingga ke peringkat nasional. Jika dulu kita dilihat takut dengan budaya asing (disebut budaya kuning dan budaya barat) kini, mereka takut dengan budaya yang dibawa oleh pekerja migran.

Saya dan beberapa rakan yang lain sekadar hadir untuk memenuhkan dewan. Selepas PM Najib beredar, diadakan sesi soal jawab yang saya ambil keputusan untuk beredar. Hal ini kerana, resolusi sudah dihantar, apa gunanya lagi soal jawab dengan orang awam, wakil NGO, budayawan dan ahli akademik. Sepatutnya, penyertaan mereka ini perlu diadakan daripada awal lagi – bukan setelah resolusi tersebut diserahkan.

Yang menghairankan saya sehingga kini adalah mengapa acara pra-kongres ini diadakan senyap-senyap. Tup-tup sahaja sudah hantar resolusi. Siapa yang membentangkan kertas kerjanya? Saya sebagai penggiat seni budaya dan juga ahli akademik berasa agak terkilan kerana penglibatan ini tidak menyeluruh. Tiada perspektif orang muda diambil (meskipun banyak kali dalam ucapan menekankan tentang TN50). Kongres Kebudayaan yang dibuat ini terus terang saya katakan adalah sebuah kongres yang gagal. Ia tidak menggambarkan resolusi yang mewakili semua pihak. Ia terlalu berat sebelah dan bersifat eksklusif seolah-olah budaya dipunyai oleh golongan yang tertentu sahaja. Dan paling utama, tiada sesuatu yang baharu.

Acara yang berlangsung di UKM adalah sebuah acara yang membazir. Resolusi yang dihantar tidak membawa suatu idea yang baharu. Ia sangat kabur dan terlalu umum. Jika tidak diadakan kongres inipun, saya kira semua orang tahu. Acara ini hanyalah meraikan budaya kosmetik yang sudahpun menjadi budaya masyarakat di Malaysia. Ia nampak cantik di luar, tetapi pengisiannya tiada. Seharusnya, inilah yang perlu mereka bincangkan. Menghapuskan budaya kosmetik. 

Jadi, apakah resolusinya? MEMPERKASA BUDAYA APRESIASI.

Boom! Setel semua benda.

Kakiseni, Cammies dan Langkahnya yang Tempang

$
0
0
Buang jurang kategori, buat jurang baru. Apakah jurang baru itu?

Di Malaysia, Anugerah Seni Boh Cameronian (Boh Cameronian Arts Award atau Cammies) merupakan salah satu anugerah seni yang mengiktiraf kerja-kerja dalam lapangan seni persembahan. Diinisiatifkan oleh Kakiseni, Cammies telah berlangsung selama lebih sedekad dengan penyertaan banyak produksi-produksi tempatan dalam pelbagai skala persembahan. Dalam industri filem, kita mempunyai Festival Filem Malaysia yang mengiktiraf hasil-hasil karya filem tempatan. Ada juga inisiatif lain yang mengiktiraf kerja-kerja perfileman seperti Anugerah Skrin, Anugerah Seri Angkasa dan pelbagai lagi. Selain Cammies, ada sebuah lagi acara yang mengiktiraf kerja-kerja seni pentas ini iaitu ADA Award. Ia memberi tumpuan kepada produksi-produksi berbahasa Cina sahaja. Namun, Cammies adalah satu-satunya anugerah yang wujud untuk meraikan penggiat seni persembahan di Malaysia merentas bahasa, budaya dan bentuk persembahan.

Oleh itu, memenangi anugerah dalam Cammies adalah sesuatu yang dibanggakan. Ia adalah acara yang ditunggu-tunggu oleh penggiat seni persembahan seperti teater, tari dan muzik untuk mendapat pengiktirafan yang tertinggi daripada Cammies. Saya melalui Teater Juta-Juta turut pernah merangkul anugerah Pengarah Terbaik, Karya Asal Terbaik dan Persembahan Berkumpulan Terbaik pada tahun 2014. Tercalon dalam kategori yang sama bersama pengarah dan penulis teater tersohor Namron, saya kira ia sudah cukup baik, apatah lagi memenanginya. Anugerah ini secara peribadi telah menjadi pemberi semangat untuk menghasilkan karya-karya yang lebih baik lagi.

Karyawan pentas perlukan pengiktirafan. Pengiktirafan yang paling mudah boleh diberikan kepada karyawan ini adalah dengan memberikan tepukan tangan selepas tamat persembahan. Ini adalah pengiktirafan yang paling mudah, ringkas dan segera. Jika anda mahu, boleh berdiri sambil memberikan tepukan (standing ovation). Ini adalah lumrah dalam kerja-kerja seni pentas. Pengiktirafan kedua adalah dengan membincangkan karya-karya tersebut. Ia biasa dilakukan oleh pengkritik, ahli akademik, pelajar dan ahli dalam bidang-bidang tertentu. Pengiktirafan lain adalah dengan penganjuran majlis anugerah seperti yang dianjurkan Kakiseni melalui Cammies.

Sebelum saya pergi lebih lanjut, saya mahu menarik perhatian anda mengenai iklim seni persembahan (saya fokus kepada teater) dewasa ini. Sejak kebelakangan ini, semakin ramai produksi yang mementaskan teater di sekitar Kuala Lumpur. Kemunculan panggung-panggung baharu, graduan baharu dan kumpulan produksi baharu memberikan impak yang positif kepada perkembangan seni persembahan. Saya yang bergiat dan memerhati fenomena pementasan teater di Lembah Klang merasakan ada sesuatu yang menarik untuk diperhatikan. Banyak produksi kecil dan muda, berani mementaskan teater dengan bermodalkan kederat dan idea. Produksi-produksi kecil dan muda ini adalah seperti Revolution Stage, Theatre Threesixty, Anomalist Production, Theatresauce, Tocatta Studio, Sisiseni dan banyak lagi. Mereka inilah sebenarnya penyumbang kepada perkembangan teater di Malaysia dewasa ini. Beroperasi di lot-lot kedai, mereka mengubah premis mereka menjadi ruang pementasan dengan kapasiti penonton lebih kurang 50 penonton maksimum pada satu-satu masa. Jika mempunyai sokongan dan bantuan kewangan yang besar, mereka memilih untuk mementaskan di panggung-panggung establish sekitar Kuala Lumpur.

Namun, dengan format baharu yang diperkenalkan Kakiseni, kumpulan-kumpulan baharu dan kecil tidak mendapat pengiktirafan yang sewajarnya. Mereka ditenggelamkan dengan kumpulan-kumpulan gergasi dan establish. Senarai terbaik 2016 (Best of 2016) hanya menyenaraikan enam produksi yang terbaik sahaja. Senarainya anda boleh klik di pautan ini. <Klik pautan>.

Melihat kepada senarai ini, kita sudah tahu di mana letaknya kumpulan-kumpulan kecil yang memerlukan pengikitrafan yang bukan sekadar tepuk tangan dan standing ovation sahaja. Cammies melepaskan peluang untuk memberikan pengiktirafan kepada kumpulan-kumpulan yang sedang mencari ruang mencari pengiktirafan yang lebih besar.  

Kakiseni dalam mempertahankan pendiriannya menegaskan bahawa format baharu ini adalah untuk menjadikan anugerah ini lebih berprestij dan dan lebih kompetetif. Namun, persaingan yang wujud ini pula dilihat agak tidak seimbang. Untuk produksi kecil dan muda dan modal kecil, mereka bukan sahaja tidak berupaya menggajikan pelakon, pengarah dan pereka yang berpengalaman, mereka malah tidak berupaya untuk membayar royalti skrip yang baik seperti mana yang mampu dilakukan oleh produksi yang tersenarai dalam senarai best of 2016. Produksi kecil manakah yang mampu bayar royalti The Language Archive? Produksi mana yang mampu menyewa atau mereka kostum bertemakan Bollywood? 

Akhirnya produksi kecil, muda dan modal kecil ini mementaskan skrip-skrip lama dengan rekaan yang minimal yang dilihat tidak mencapai ‘standard’ yang dikehendaki Kakiseni. Mereka yang tidak mampu membayar royalti akhirnya menulis skrip baharu yang akhirnya tidak mencapai ‘standard’ yang dikehendaki. Saya bukanlah memusuhi produksi-produksi gergasi, lama dan berduit. Akan tetapi melalui perubahan format seperti ini, ia menidakkan penglibatan secara menyeluruh terutama daripada kumpulan-kumpulan kecil. Dikhabarkan 12 anugerah utama akan diberikan di acara kemuncak pada 7 Mei 2017 kepada enam produksi yang terbaik ini. Nampaknya, ia menjadi semakin eksklusif. Tambah mereka lagi, jika ada sesuatu anugerah itu wajar diberikan kepada mana-mana produksi yang tidak tersenarai dalam senarai enam terbaik, anugerah tersebut akan diberikan mengikut kewajaran. Saya tidak pasti apakah kriteria yang mereka gunakan untuk melayakkan sesebuah produksi yang tidak tersenarai dalam enam terbaik mendapat anugerah yang mengikut kewajaran itu.  

Format baharu Cammies ini pada saya adalah satu langkah ke belakang ketika mana seni persembahan di Lembah Klang sedang meningkat naik. Perkembangan ini sepertinya tidak diraikan Kakiseni dengan memberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Jika bantuan dan sokongan perlu diberikan, produksi terpinggir inilah yang seharusnya diberikan perhatian. Mereka perlu dibawa, ditunjuk ajar, dibuka peluang membina hubungan dengan penaja-penaja yang berpotensi. Dalam penyataan yang dikeluarkan Kakiseni <Klik Pautan>, kelebihan menjadi enam terbaik untuk Cammies pada tahun ini adalah mereka akan dipertemukan dengan penaja berpotensi dalam satu diskusi dan bual bicara. Melihat senarai enam terbaik dan peluang yang mereka miliki, simpati saya terhadap kumpulan kecil berlanjutan. Makanya mereka tiada peluang berjumpa dengan bakal penaja.

Saya faham tujuan Kakiseni mengubah langkahnya adalah untuk menaikkan standard dan mutu persembahan di Malaysia. Salah satu tujuannya juga adalah untuk menarik minat penaja supaya melabur dalam seni persembahan di Malaysia. Jika standard persembahan meningkat, maka semakin banyaklah pelaburan yang bakal dibuat oleh para penaja. Ini hipotesis mereka. Langkah ini dilihat sangat bergaya tapi sebenarnya ia tempang. Mengenai penghapusan kategori, saya tidak mahu membuat sebarang komen sehingga saya mengetahui sendiri apakah 12 anugerah yang akan diberikan pada 7 Mei nanti.  

Namun, saya merasakan terdapat beberapa kategori yang perlu dikekalkan dan/atau diwujudkan.
  1. Naskhah/Skrip Asal Terbaik. Kategori ini wajib dikekalkan sebagai langkah dan galakan menghasilkan karya-karya tempatan yang baik. Kita tidak mempunyai ramai penulis teater. Dan diharap dengan adanya kategori ini, ramai penulis dan produksi mahu menulis naskhah sendiri dan bukan setakat bayar royalti pentaskan teater. 
  2. Rekaan Produksi Terbaik. Ada pementasan yang tidak memerlukan rekaan yang extravaganza. Bak kata Peter Brook, aspek-aspek visual ini adalah sebuah kleptokrasi - ia mengalih tumpuan pementasan daripada pengisian persembahan jika rekaannya tidak selari. Sebagai contoh, rekaan yang cantik namun tidak mencerminkan pemikiran bukanlah rekaan produksi yang baik. Ia mungkin cantik tetapi tidak punya makna dan gagal berkomunikasi dalam lapisan makna yang dalam. 
  3. Naskhah Pendek Terbaik. Saya merasakan ia penting untuk galakan kepada kumpulan-kumpulan kecil, muda dan modal kecil untuk bertanding sesama mereka. Dan yang pasti, kita tahu, kumpulan besar dan berpengalaman tak akan mementaskan persembahan pendek. Jadi, kumpulan-kumpulan kecil dapat bersaing sesama mereka. Dan kita menganggap mereka tidak selamanya akan mementaskan teater pendek dan akan berusaha untuk bersaing dengan produksi senior dan besar. 
  4. Seniman/Karyawan Baharu Terbaik. Ini penting supaya saban tahun kita akan terus menghasilkan karyawan-karyawan baharu. Mereka boleh jadi individu atau kolektif yang secara konsisten menghasilkan karya-karya yang baik. Kita sering memberi penghargaan kepada seniman veteran dan banyak menabur budi, namun kita kurang beri penghargaan kepada seniman/karyawan muda.
  5. Esei/Kritikan/Tulisan Terbaik. Sebagai galakan kepada bidang apresiasi, saya mencadangkan anugerah ini diwujudkan. Jika kita mahu meningkatkan mutu seni persembahan, ia perlu menyeluruh. Pengkritik dan penulis memainkan peranan yang besar dalam melengkapkan kitaran industri. Justeru itu, pengiktirafan seharusnya diberikan kepada mereka yang menjadi jambatan antara pengkarya dan penonton (atau pembaca). Pengkritik, walau mereka tidak berproduksi, mereka tetap menyumbang kepada perkembangan industri. Justeru itu, saya menegaskan ia sesuatu yang wajar. Ia mungkin juga satu galakan supaya lebih ramai orang menulis tentang seni persembahan dan berhujah dan berdebat tentang idea mereka.
  6. [Kemaskini 25 April 2017] Persembahan Tradisional Terbaik. Ini adalah sebagai inisiatif kepada pemeliharaan seni tradisional. Ada penggiat seni tradisional yang betul-betul menjaga keaslian dan kehalusannya. Sudah tentu mereka tidak akan dapat dinilai dari segi rekaan terbaik, pengarahan terbaik kerana hanya mengekalkan format dan bentuk yang asal tetapi pengiktirafan seharusnya dibuat dengan melihat bagaimana penggiat ini meletakkan seni tradisional sesuatu yang relevan dengan situasi sekarang ini. 
Selain itu, jika pada tahun itu tiada satu pun produksi yang layak untuk memenangi mana-mana kategori, saya mencadangkan bahawa kategori itu diumumkan tiada pemenang. Ia biasa terjadi di mana-mana sekalipun demi menjaga standard. Festival Filem Malaysia juga pernah berbuat demikian pada tahun 1989 apabila mengumumkan bahawa tiada filem terbaik untuk tahun tersebut. Sayembara DBP juga beberapa kali mengumumkan bahawa tiada pemenang utama untuk kategori-kategori yang dirasakan tidak mencapai standard yang mereka kehendaki. 
 
Mungkin tahun ini Kakiseni melangkah dengan kaki yang tempang. Bagi yang mengikuti Cammies saban tahun, mereka memberikan pelbagai reaksi terhadap langkah ini. Namun saya menyarankan agar perhatian diberikan kepada kumpulan-kumpulan terpinggir supaya mereka terus kekal bersemangat dalam menghasilkan karya-karya bermutu. Alangkah baiknya jika produksi yang terbaik dalam kumpulan terpinggir, baharu dan modal kecil ini mendapat peluang yang sama untuk bertemu, berdialog dan berdiskusi dengan para penaja dan senarai enam terbaik. Itupun kalau Kakiseni mahu bercakap tentang removing barrier. Kerana pada saya, itulah barrier yang perlu kita beri perhatian sebenarnya.

Isu dan Permasalahan Kumpulan Teater Kecil dan Muda di Kuala Lumpur.

$
0
0

Jika anda mengikuti tulisan saya atau pun mengikuti perkembangan teater-teater di Kuala Lumpur lewat kebelakangan ini, sudah tentu anda mengetahui tentang perkembangan dalam kegiatan pementasan teater yang dibuat oleh kumpulan-kumpulan muda dan kecil. Perkembangan ini dirasai sekitar awal dekad 2010an di mana ramai para graduan seni persembahan mencari ruang dan peluang mengembangkan bakat seninya bukan setakat di dalam kamus malah di pentas-pentas lain sekitar Kuala Lumpur. Ada yang bergerak sebagai kumpulan, kolektif dan juga individu. Pergerakan mereka ini agak bebas dan tidak langsung dinaungi oleh mana-mana badan atau organisasi teratur. Cara mereka bergerak ini agak sinonim dengan sub-budaya indie yang dipinjam daripada kegiatan perfileman, muzik dan buku.

Pelbagai nama diberikan kepada mereka; indie, underground, alternatif dan sebagainya. Namun antara ciri yang jelas adalah mereka bergerak dengan modal kecil dan kebanyakan mereka digerakkan oleh penggiat muda dan graduan universiti. Ada penggiat yang berusia dan berumur turut menumpang dan meminjam gelaran ini dalam kumpulannya. Namun, semangat indie ini tetap lebih rapat dengan orang muda.

Sehingga hari ini, sudah banyak produksi-produksi yang bergerak dengan model baharu ini. Model ini sudah tentu memberi kesan terhadap bentuk dan isi (form and content) persembahan yang disajikan. Indie bukan sahaja gaya hidup tetapi telah menyerap kepada bagaimana sesebuah pemikiran sesebuah naskhah dan persembahan. Bagi yang hanya mencedok budaya indie ke dalam persembahan, kita dapat merasai bahawa pementasan mereka sekadar kosmetik. Naskhah-naskhah mereka masih tidak bebas. Dalam erti kata lain, persoalan-persoalan naskhah masih mempersoal dan berlegar di ruang lingkup yang lama dan sama. Walaupun ada yang berani bercakap mengenai hal-hal tabu, tapi ia disampaikan dengan nada yang membosankan. Persoalan seks, gender dan politik, antara yang digemari, hanya menjadi alat kosmetik bagi menggambarkan pemikiran yang bebas. Namun, kita secara sedar mengetahui bahawa masih ada lagi hal-hal yang terperangkap dan membelenggu pemikiran penulis atau pengarah.

Namun, punca utama permasalahan ini juga adalah daripada kerja kraf seorang penulis itu sendiri. Rata-rata penggiat teater muda dan kecil kurang pengalaman dan pendedahan terhadap penulisan yang bagus. Disebabkan usia mereka yang muda dan juga pendedahan yang kurang, mereka tidak terdedah dengan penulisan-penulisan skrip yang baik. Akses terhadap skrip yang baik juga tidak besar. Kebanyakan karya-karya yang diketahui adalah daripada proses pembelajaran di universiti, internet, koleksi persendirian senior, guru dan mentor mereka. Pendedahan terhadap naskhah-naskhah kontemporari kurang diberi pendedahan sekaligus menjadikan mereka ini masih bercakap tentang hal-hal lama. Di Malaysia sendiri, kegiatan penulisan skrip drama pentas dilihat tidak mendapat sambutan dan kurang diberi perhatian. Pelajar-pelajar di universiti, masih membincangkan karya-karya yang telah dibincangkan oleh Mana Sikana dan Krishen Jit - yang mana kebanyakan karya-karya ini diterbitkan sebelum era millenial. Perbincangan terhadap pengkarya-perkarya baharu tidak mendapat tempat yang sepatutnya dan sekaligus memberi kesan terhadap penulisan karya-karya baharu.

Dalam kebanjiran kumpulan-kumpulan ini juga turut memberi kesan terhadap kadar pementasan teater di Kuala Lumpur. Jumlah pementasan teater indie ini boleh dikatakan meningkat. Boleh dikatakan setiap minggu pasti ada sahaja pementasan yang berlangsung. Namun, dalam banyak-banyak pementasan ini, kualiti pementasan ini boleh dipertikaikan. Bukan sahaja dari segi penulisan naskhah, namun kepada aspek lakonan dan kualiti pengarahan. Saya tidak mahu menyentuh aspek rekaan kerana pada dasarnya mereka bergerak tanpa modal dan tidak menekankan aspek sinografi dalam pementasan ini. Kualiti pementasan teater-teater sedemikian tidak semuanya bagus. Banyak yang dibikin dengan cincai dalam masa yang singkat. Ada sesetengah penggiat yang hanya mengadakan sesi rehearsal selama kurang daripada tiga minggu untuk pementasan durasi 60 minit. Kemudian dalam keadaan separuh masak pementasan ini dipersembahkan kepada penonton dengan mengenakan harga tiket yang tidak berpatutan.

Iya, betul. Peter Brook ada menulis Immediate Theatre dan Rough Theatre. Tapi ia bukan bermaksud sesebuah teater itu perlu dipentaskan dengan tergesa-gesa dan tidak sempurna. Immediate dan Rough Theatre dibuat kerana keperluan penggiat untuk respon terhadap persekitarannya. Walaupun ada satu gesa, sebagai pengkarya, mereka masih perlu meniliti keseniannya supaya dapat memberi nilai tambah kepada perspektif baharu terhadap isu atau perkara yang cuba disampaikan melalui karyanya. Namun, apabila berbalik kepada teater-teater segera yang dipentaskan ini, ia seolah-olah menggunakan lesen daripada Brook untuk mementaskan teater secara kerap tanpa memperhalusi pemikirannya yang kemudiannya berbalik kepada permasalahan utama yang Brook nyatakan iaitu The Deadly Theatre.

Teater-teater segera daripada penggiat teater indielah yang akhirnya akan memusnahkan iklim teater. Hal ini melibatkan dan menjurus kepada permasalahan seterusnya iaitu penerbitan teater-teater indie. Isu utama dalam hal penerbitan ini adalah kekurangan perancangan yang teratur. Jika kita lihat bagaimana teater-teater besar mampu bertahan adalah kerana perancangan yang teratur. KLPAC atau The Actor Studio misalnya punya perancangan tahunan. Kebiasaannya, mereka akan mengumumkan pementasan-pementasan yang akan berlangsung sepanjang tahun tersebut. Di Malaysia, tidak banyak kompeni teater yang berbuat demikian. Di negara yang wujud industri teater, mereka akan mengumumkan teater-teater yang bakal dipentaskan pada setiap permulaan musim luruh iaitu sekitar bulan September. Beberapa pementasan akan berlangsung sehingga akhir musim bunga (sekitar bulan Mei) bergantung kepada saiz kompeni tersebut. Pada musim panas pula, akan berlangsunglah festival, bengkel teater, kongres dan segala aktiviti yang melibatkan komuniti. Perancangan untuk permulaan musim baharu juga diperhalusi sebelum mereka mengumumkan lagi perancangan musim baharu.

Namun, situasi ini tidak berlaku di Malaysia. Perancangan seperti ini tidak wujud. Kita, sebagai penonton tidak tertunggu-tunggu pun aturcara tahunan sesetengah kompeni teater. Ini mungkin mereka lebih terdedah dengan hal-hal kreatif tetapi tidak mengambil tahu hal-hal perniagaan. Kebanyakan penggiat teater-teater indie, kurang kemahiran dalam perniagaan atau showbiz. Perkara ini bukanlah salah mereka kerana kebanyakan mereka bermula sebagai seorang pengkarya. Sudah tentu mereka tidak punya kemahiran perniagaan. Disebabkan tiada perancangan yang rapi, ia mengakibatkan perniagaan teater mereka menjadi seperti  kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ada pementasan, ada gaji. Kitaran ini yang akhirnya akan membuatkan kegiatan berteater itu satu kegiatan yang kaku seperti yang disarankan Brook dalam bab The Deadly Theatre dalam buku The Empty Space.

Selain program-program kreatif seperti bengkel lakonan, penulisan dan pengarahan, teater di Malaysia memerlukan bengkel atau kelas penerbitan teater untuk membolehkan wujudnya industri. Pendedahan terhadap kerja-kerja penerbitan perlu diberikan penekanan sewajarnya. Saya pasti ramai di antara penggiat teater masih tidak tahu bagaimana mahu menulis dan memohon geran seni dengan baik. Masih ada yang tidak mengambil tahu tentang intensif cukai, polisi-polisi seni budaya yang dapat memberi manfaat terhadap kegiatan seni mereka dan banyak lagi. Jika benar, mereka memandang seni teater sebagai bisnes, pendedahan terhadap kerja-kerja penerbitan perlu ditekankan. Ilmu-ilmu penerbitan perlu disampaikan supaya kita bukan sahaja berupaya menghasilkan pengkarya tetapi orang yang bertanggungjawab menjual karya tersebut. Jika tidak, saya pasti teater kita yang sedang meningkat naik ini akan kekal statik atau lebih teruk, mati semula.

Review 74: Electra oleh Cake Theatrical Production

$
0
0

Electra yang Mengejutkan!
oleh Fasyali Fadzly



Menangani naskhah tragedi Yunani mungkin salah satu impian setiap pengarah. Usia naskhah yang beribu-ribu tahun ini mampu mencabar pengarah untuk membuka perspektif lain dan mencari potensi berbeza naskhah tersebut. Di tangan pengarah Natalie Hennedige daripada Cake Theatrical Production (CTP), Electra benar-benar mengejutkan, penuh kontras dan tegas.

Electra dipentaskan di KuAsh Theatre, TTDI pada 5 sehingga 7 Mei 2017. Pementasan ini telah dipentaskan terlebih dahulu di Singapura pada tahun 2016 dan dibawa untuk bertemu dengan penonton di Malaysia khususnya Kuala Lumpur hanya pada tahun ini. Pada tahun lepas, melalui Classic Series, CTP telah menerbitkan juga Ophelia.

Syarikat teater yang berasal daripada Singapura ini dikhabarkan sering mementaskan teater-teater yang aneh dan penuh eksperimentasi. Saya tidak mempunyai pengalaman menonton teater-teater yang diterbitkan oleh CTP dan tiada tanggapan yang dapat dibuat sebelum pementasan ini dipentaskan.

Pementasan dimulakan dengan lagu popular I will Survive. Ia sangat-sangat kontras dengan tragedi Yunani. Lagu dimainkan sehingga penonton di sebelah saya turut menyanyi bersama dan dengan penuh tegas, lagu tersebut dihentikan dengan serta merta dan digantikan dengan bunyi seolah-olah anda berada di dalam bilik yang kosong dan hanya ada satu bunyi penghawa dingin yang menyejukkan. Ia sesuatu yang mengejutkan. Ketepatan perubahan mood naskhah ini dipentaskan seolah-olah menjadi satu nilai dalam pementasan ini. Mungkin ada yang menganggap ia mungkin kesilapan penata bunyi tetapi ia dilakukan dengan penuh konsisten. Hampir setiap babak pengalaman seperti ini akan wujud dalam pendekatan yang berbeza. Ketepatan perubahan mood di dalam pementasan ini dibantu dengan penataan audio dan muzik yang baik.

Kejutan ini muncul di setiap adegan dengan penuh konsisten. Adakalanya kita merasakan ia betul-betul seperti naskhah tragedi yang meruntun perasaan. Namun, dalam sekelip mata, tragedi ini disulam dengan humor yang nampak seperti dangkal (dan tidak sesuai untuk naskhah tragedi) tetapi sangat matang dalam pemilihan jenakanya. Tidak pernah saya tonton sebuah naskhah tragedi yang punya sense of humor yang baik. Dengan olahan skrip oleh Natalie Hennedige dan Michelle Tan, sentuhan jenakanya cuma sesekali tetapi hadir tepat pada waktunya dan seolah-olah mengetuk kepala untuk menyedarkan tentang berseronok dengan keindahan teaterikal. Terdapat satu adegan yang mengundang tawa di mana watak Agamemnon dengan kapak yang melekat di kepala melintas di ruang pentas ketika watak lain menceritakan tentang kematian Agamemnon. Imej kepala yang terpacak kapak ini seringkali kita jumpa dalam filem-filem jenaka murah Hollywood. Namun di dalam Electra, sekali lagi, ia betul-betul mengejutkan dan penuh kontras.

Pemilihan pelakon juga sangat-sangat menarik. Sudah tentu apabila menangani naskhah Electra, pengkarya tidak akan terlepas dengan persoalan gender. Hennedige telah dengan sengaja mengambil peluang ini dengan menggunakan empat orang pelakon untuk memainkan watak yang pelbagai. Hal ini dilihat jelas melalui pemilihan tiga pelakon iaitu Sharda Harrison, Andrew Marko dan Lian Sutton yang mana setiap mereka memegang lebih daripada satu watak. Mereka juga memainkan watak yang bertentangan jantina (cross gender casting). Tambah menarik lagi, pelakon yang memainkan watak Clytemnestra (ibu Electra) dan Orestes (adik lelaki Electra) dimainkan oleh orang yang sama iaitu Sutton. Pemilihan yang agak baik juga untuk kita lihat bagaimana Orestes pada akhir adegan membunuh ibunya sendiri. Pelakon yang sama iaitu Sutton memainkan dua watak ini memberikan twist yang menarik terhadap adegan pembunuhan tersebut.

Jika kita menonton Electra untuk mencari dunia dan ruang di mana Electra hidup, kita akan gagal. Electra oleh CTP tinggal di dunia post-moden yang tiada di dalam susur masa kita. Terlalu banyak imej, bunyi dan makna yang penuh kontras. Ia seolah tidak cocok dengan dunia yang kita diami sekarang ini. Sebentar kita jumpa Electra menggunakan microwave, sebentar kita jumpa boneka dan topeng macam persembahan tradisional, sebentar kita nampak watak dan mutu lakonan komikal dalam naskhah tragedi, sebentar kita jumpa watak yang gemarkan lagu-lagu popular, klasik dan evergreen. Dunia Electra penuh distorsi dan kontras. Pengarahnya tidak ragu-ragu mengadun kesemua elemen ini di dalam satu persembahan yang sangat pekat citarasa teaterikalnya.

Sebagai pengarah, Hennedige betul-betul mempercayai nalurinya dan kematangan dalam berfikir. Sebagai penonton, kita sedar yang pemilihan yang dibuat oleh pengarah adalah melalui proses kreatif dan bukan sekadar nasib dan cuba-cuba. Tekstur persembahan tampak keras dan tegas tetapi mengejutkan. Dari awal sehingga akhir, kejutan-kejutan ini datang dalam bentuk lakonan, bunyi, penggunaan props, kata-kata dialog dan banyak lagi. Ada banyak hal yang tidak masuk akal tetapi kita membenarkan imaginasi untuk mempercayai dunia ciptaannya.

Pementasan yang memakan masa lebih kurang 90 minit berakhir dengan tepukan yang gemuruh. Ia adalah sebuah persembahan yang sangat mengujakan. Realiti pentas digodam dan dipersoalkan hakikatnya. Dalam dunia Electra yang penuh nilai teaterikal ini, kekaburannya dibuat dengan penuh vivid, kontras dan semacam sentuhan listrik.


Refleksi: Wujudkah Industri Teater Malaysia?

$
0
0
Persoalan sebegini mungkin sudah diaju oleh ramai orang dan sudahpun dijawab oleh ramai penggiat teater di Malaysia. Kita secara spontan dan rasional sudah mengetahui bahawa industri teater tidak wujud di Malaysia. Jika wujud pun, ia sangat-sangat kecil. Namun, apakah yang membuatkan sesuatu bidang itu sudah layak dipanggil industri?

Teater tidak seperti bidang seni persembahan yang lain. Walaupun ada yang mengatakan teater mirip kepada filem dan televisyen, namun ia sesuatu yang sangat-sangat berbeza. Kita boleh anggap bidang filem dan TV di Malaysia sudah mempunyai industri mereka yang tersendiri. Struktur organisasi mereka lebih tersusun walaupun masih ada kekurangan dan perlu penambahbaikan. Pada tahun 2016, jumlah kutipan tiket untuk filem tempatan sahaja berjumlah RM79,178,688.60 (sumber Finas). Jumlah ini tidak termasuk filem-filem import yang ditayangkan di pawagam seluruh negara. Sudah tentu dengan jumlah kutipan tiket yang besar ini memberi peluang pekerjaan kepada pekerja-pekerja dalam bidang perfileman di Malaysia. Daripada pengarah, pelakon dan penulis sehingga penjual tiket, promoter dan ramai lagi. Ramai orang mampu memiliki pekerjaan melalui industri perfileman.

Bidang teater tidak seperti filem. Industri teater belum lagi wujud. Majoriti pembikin teater melakukan kerja-kerja teater sebagai aktiviti sampingan. Biasanya mereka mempunyai kerja lain selain bikin teater. Sebelah siang sebagai pengurus, malam sebagai pelakon. Siang sebagai guru, malam sebagai pengarah. Hanya ada sebilangan sahaja yang menjalankan kerja teater sepenuh masa dan bilangan ini sangat sedikit.

Disebabkan industri teater tidak wujud, ke manakah arah graduan-graduan teater seluruh negara akan pergi untuk mendapatkan pekerjaan? Biasanya mereka akan memasuki industri perfileman dan TV. Inilah bidang yang paling mirip dengan teater. Namun, tidak semuanya bertuah menjadi pelakon atau pengarah atau karyawan filem. Ada juga yang menceburi bidang perguruan, menjawat jawatan kerajaan dan banyak lagi kerja-kerja lain yang tiada kaitan langsung dengan seni persembahan. Paling teruk, ada yang menganggur. Isu ini tidak pernah sekali dibincangkan secara terbuka. Masing-masing hanya menumpukan bidang-bidang kritikal seperti perkomputeran, kejuruteraan dan sebagainya berbanding bidang-bidang sains sosial dan kemanusiaan.


Infografik ini tiada kaitan dengan statistik yang saya lampirkan dalam tulisan ini. Ia sebagai info tambahan jika anda mahu buat sebarang perbandingan.

Kadar pengangguran yang meningkat daripada 3% kepada 3.5% sejak dua tahun lalu perlu diambil berat oleh semua pihak. Tentunya, graduan bidang seni persembahan termasuk dalam statistik ini dan ketiadaan industri teater sudah tentunya menyumbang kepada perangkaan ini.

Di Malaysia, terdapat banyak universiti awam yang menawarkan pengajian seni persembahan. USM, UiTM, UM, ASWARA, Unimas, UMS dan UPSI. Rata-rata pusat pengajian, fakulti dan akademi ini dibuka sekitar tahun 1990an. Kini, ada di antara pusat pengajian ini sudah berusia hampir 20 tahun. Katakan setiap tahun, mereka mengeluarkan lebih kurang 50 orang pelajar. Mengikut kiraan matematik mudah:

7 Universiti x 20 Tahun x 50 pelajar* = 7000 alumni

*anggaran untuk setiap fakulti yang mempunyai lebih daripada satu jabatan.
*UiTM membuat pengambilan pelajar dua kali setiap tahun pengajian.


Ini adalah anggaran kiraan untuk 20 tahun sahaja dan tidak termasuk graduan daripada akademi negeri (Akademi Seni Melaka, Akademi Teater Perak dll), kolej dan universiti swasta (Sunway College, Lim Kok Wing University dll) dan graduan luar negara. Secara kasar, kita boleh anggarkan bahawa jumlah graduan seni persembahan adalah sekitar 10000 orang (atau lebih) setakat ini di Malaysia. Ini tidak termasuk mereka yang tidak mempunyai pendidikan formal dan menceburi bidang ini secara sukarela dan sebagainya. Angka ini dilihat sangat besar.

Lebih mendukacitakan, setelah 20 tahun (diulang, 20 TAHUN) penubuhan pusat-pusat pengajian seni di Malaysia, kita masih lagi gagal membina sebuah industri. Kegiatan berteater masih dianggap sebagai kegiatan masa lapang, hobi dan juga aktiviti persatuan. Ia tidak dipandang serius sebagai punca pendapatan utama. Disebabkan itu, ramai penggiat teater menjadikan teater sebagai aktiviti masa senggang dan perlu melakukan kerja lain demi meneruskan hidup. Mereka tidak fokus kepada satu kerja sahaja dan memberi kesan kepada peningkatan kualiti seni budaya di Malaysia secara umum.

Ketiadaan industri membuatkan peningkatan kualiti produksi berkembang dengan sangat perlahan. Sukar untuk kita kesan perubahan yang besar dalam sela satu dekad. Kita boleh lihat sendiri dengan penganjuran Kakiseni Boh Cameronian Arts Award 2016 yang mana jumlah anugerah yang diberikan dilihat berkurangan daripada tahun-tahun sebelumnya. Ini secara kasar menunjukkan banyak produksi yang dipentaskan tidak mencapai kualiti (mengikut standard Kakiseni) sekaligus banyak anugerah tidak diberikan seperti Naskhah Asal Terbaik, Pelakon Utama Terbaik, Rekaan Kostum Terbaik, Rekaan Lampu Terbaik dan banyak lagi. Hal ini sesuatu yang merunsingkan sebenarnya kerana berdasarkan kiraan, sebanyak lebih  kurang 80 produksi yang dipertandingkan tetapi yang mendapat anugerah terbaik hanya 12 sahaja selain 6 produksi yang digelarkan Best of 2016.

Ketiadaan industri teater juga menjadikan bidang teater sebagai bidang yang tidak kompetetif. Hal inilah sebenarnya yang menjadi punca dan menjadikan tiada peningkatan kualiti yang jelas terhadap hasil karya dan produksi di Malaysia. Kita masih dapat menonton banyak teater dengan pendekatan dan isu lapuk. Bercakap tentang hal-hal yang ketinggalan. Kita masih lagi mementaskan skrip-skrip lama kerana tiada permintaan untuk penghasilan skrip-skrip baharu. Kita masih lagi tidak mahu membayar royalti skrip demi kelangsungan hidup penulis skrip tersebut. Teater kita masih kurang inovasi kerana kurang dana untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan. 

Industri teater boleh wujud sekiranya kerajaan benar-benar mahu ia jadi kenyataan. Tekad kerajaan untuk membangunkan teater industri perlu besar sebesar kerajaan membangunkan industri permotoran sehingga terhasilnya Proton dan sebagainya. Usaha ini tidak boleh sekerat jalan tetapi perlu dipergiat daripada akar umbi lagi. Mereka telah bina institusi seni yang banyak pada tahun 90an tetapi usahanya terhenti setakat itu sahaja. Tiada tindakan susulan yang diambil oleh pihak lain. Banyak pihak yang akan memperoleh manfaat jika industri teater wujud. Seperti industri lain, akan terdapat golongan hiliran yang dapat manfaat sekiranya industri teater wujud. Industri teater bukan sahaja memberi pulangan dari segi ekonomi tetapi dapat memberi impak terhadap kemajuan intelek, seni dan budaya. 

Sudah tentu kerajaan tidak berupaya melakukan ini semua seorang diri. Kerjasama korporat turut diperlukan bagi membina jaringan industri. Insentif cukai perlu wujud dan diberikan kepada syarikat-syarikat korporat yang membiayai dan membina industri teater atau seni persembahan. Dengan wujudnya insentif cukai yang efisyen dan telus, akan banyak syarikat-syarikat korporat membiayai syarikat-syarikat teater untuk menghasilkan produksi-produksi yang berkualiti. Ini sekaligus mengurangkan beban kerajaan untuk membantu membangunkan industri teater kerana tugas ini telah diambil oleh syarikat-syarikat korporat.
Sebahagian syarikat korporat yang ada di Malaysia. 

Namun buat masa ini, industri teater tidak wujud. Pekerja teater tidak wujud. Yang wujud cuma kegiatan berteater sahaja. Kita gelar mereka yang menceburi bidang ini sebagai penggiat teater dan terma ini digunapakai secara meluas seolah-olah sebagai konsesus bahawa industri teater tidak wujud. Namun disebabkan ramai orang teater bernafaskan mimpi dan cinta, kegiatan berteater masih berterusan. Cuma bak kata orang, mati segan hidup tak mau.

Teater Malaysia 2017

$
0
0
Tahun 2017 sudah hampir melabuhkan tirainya. Tahun ini adalah tahun yang mana saya paling aktif menonton teater. Saya tak dapat kira berapa banyak teater yang telah saya tonton, tapi dari segi pengalaman penontonan sepanjang saya bergiat dalam teater, inilah tahun saya banyak menonton teater. Banyak perkara menarik telah berlaku pada tahun 2017. Saya akan menyenaraikan beberapa dan senarai ini tidak disusun mengikut kronologi dan kesukaan. Ada juga acara yang bagus tetapi tidak saya hadiri dan tidak dapat dimasukkan ke dalam senarai ini. Senarai ini  adalah antara acara sekitar teater yang saya anggap menarik bagi pandangan saya.


1.     BOH Cameronian Arts Award 2016
Memang namanya ada tertulis 2016 tapi acara ini berlaku pada tahun 2017 di mana majlis penyampaian anugerah dijalankan pada tahun 2017. Berlaku banyak cakap-cakap berkenaan dengan format baharu BOH Cameronian Arts Award yang dibuat pada tahun lepas. Rata-rata begitu terkejut dengan pengumuman Best 6. Kumpulan-kumpulan teater kecil dilihat tidak tersenarai dan senarai pencalonan untuk sub kategori juga tidak didedahkan. Beberapa perjumpaan kemudiannya diadakan antara penggiat teater kecil ini (bersama Kakiseni dan juga tidak) untuk berbincang tentang hala tuju teater di KL. Saya turut terlibat dalam banyak perjumpaan dan menyaksikan beberapa luahan perasaan, isu dan masalah yang dihadapi oleh kumpulan teater kecil yang tidak mendapat perhatian. Ramai juga yang semakin meragui penganugerahan ini sehingga ada beberapa kumpulan teater dan perseorangan dengan tegas tidak menghantar penyertaan mereka dengan BOH Cameronian Arts Award.

2.     Teater Modular
Teater Bahasa Melayu secara tiba-tiba didatangi seorang penulis baharu, Ridhwan Saidi. Beliau yang sebelum ini telah menulis enam buah novel, banyak cerpen, puisi dan pelbagai esei yang diterbitkan secara mandiri, syarikat penerbitan sendiri dan syarikat penerbitan alternatif. Melalui siri Teater Modular yang pertama, Ridhwan mengejutkan penonton teater di Lembah Kelang dengan empat naskhah playlet yang bercakap dalam humor yang gelap. Ia sesuatu yang jarang berlaku dalam penulisan teater Bahasa Melayu. Tulisannya mempunyai originaliti dan tegas dalam menyampaikan idea yang absurd. Dia tidak langsung berusaha untuk menjadi sesiapa. Beliau kemudiannya dipanggil ke Singapura untuk membuat bengkel teater Modular di sana serta bacaan naskhah yang dianjurkan oleh Teater Ekamatra di Singapura. Bagaimanapun, siri kedua Teater Modular dilihat tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan dari segi kritikan. Tidak banyak percakapan dan tulisan yang secara kritis membincangkan teater tersebut berbanding siri pertama. Namun, kemunculan Ridhwan perlu diberikan perhatian. Ridhwan akan meneruskan siri ketiga Teater Modular pada tahun 2018. Ia bakal dipentaskan pada bulan April nanti. Selain itu, beliau turut akan mementaskan double bill dan sedang menyiapkan sebuah naskhah panjang bertajuk Mautopia.

3.     Kandang
Selepas Dato’ Seri yang diadaptasi daripada Macbeth, duo Omar Ali dan Tan Sri Ali Hashim sekali lagi melakukan kerja adaptasi ke pentas. Adaptasi daripada novel George Orwell bertajuk Animal Farm, ia kemudian diangkat ke pentas dengan tajuk Kandang. Kandang dibawa dengan nuansa politik Malaysia dalam nada satira. Walaupun tidak secara terang-terangan mengambil kumpulan politik tertentu sebagai bahan jenaka, namun ia klu-klu yang terdapat di dalam pementasan ini jelas merujuk kepada sebuah parti yang paling dominan dalam negara. Kandang begitu pekat berbicara tentang sejarah pembentukan Malaysia mengikut naratif Barisan Nasional. Melalui pementasan ini, kita dapat melihat kepincangan pentadbiran dan dasar sempit yang begitu selari apa yang diperkatakan oleh Goerge Orwell. Dramaturgi yang dilakukan oleh duo ini begitu menarik menjadikan pementasan ini dilihat kemas dari segi kerja-kerja pengadaptasian. Bukan sekadar itu sahaja, pementasan ini juga adalah pementasan pecah panggung dan dijangka akan dipersembahkan sekali lagi di masa akan datang. Namun, gandingan anak dan ayah ini tidak akan dapat kita lihat lagi berikutan pemergian Tan Sri Ali Hashim pada bulan Oktober 2017. Semoga rohnya dilindungai rahmat Ilahi. Al-Fatihah.

4.     Swordfish + Concubine, Bangsawan Dendam Laksamana dan Bahara Emas
Tiga pementasan ini dilihat sebagai sesuatu pertembungan tak sengaja yang menarik. Semua pementasan ini diambil daripada kisah dalam Sejarah Melayu dan dipersembahkan dalam tempoh masa yang berdekatan - cuma selang seminggu dua. Semua teater ini secara tanpa sedar bercakap tentang kepincangan kuasa pembesar dan golongan raja. Apa yang menariknya, tema penyalahgunaan kuasa ini dibuat oleh tiga produksi yang berlainan. Adakah ini sesuatu yang tindakan bawah sedar para karyawan di Malaysia ataupun secara sedar bahawa mereka bersetuju bahawa salah guna kuasa golongan kuasawan sesuatu yang tidak mampu diselindungkan lagi? Sehingga para karyawan mengangkat tema ini ke atas pentas. Swordfish+Concubine adalah yang jelas nada politikalnya, manakala Bangsawan Dendam Laksamana dan Bahara Emas yang dipersembahkan dalam Bahasa Malaysia tidak begitu kuat nada politikalnya. Semoga tahun 2018 semakin banyak teater yang mengambil tahu, mempunyai sikap dan bertegas dalam menyampaikan keresahan rakyat.

5.     Throne of Thorns
Saya kira, pementasan ini sesuatu yang mengejutkan dari segi persembahan. Pengarah Norzizi Zulkifli mengambil bentuk persembahan teater tradisional Mak Yong, menggunakan naskhah Shakeskpeare, The Tempest, melakukan pengubahsuaian dan mementaskannya dalam bentuk yang tidak kita kenali lagi – baik Mak Yong ataupun Shakespeare. Bagi tradisionalis, ToT mungkin mencemar warisan budaya. Namun, ToT dengan sengaja 'mencemarkan' warisan untuk mencari bahasa baharu dalam pementasan teater. Ia adalah sebuah pementasan post-modern yang betul-betul mengganggu dan mencabar bentuk persembahan Mak Yong dan Shakespeare yang konvensional. Pementasan ini juga adalah sebahagian daripada syarat pengajian PhD Norzizi Zulkifli ketika menuntut di University of Wollonggong. Kini beliau telah pun menamatkan pengajian PhDnya. Beliau kini sedang mengusahakan pementasan semula Mak Yong Titis Sakti, adaptasi daripada naskhah A Midsummer Night’s Dream karya Shakespeare.

6.     Version 2020
Version 2020 adalah sebuah pementasan teater yang telah membuat pementasan perdananya bukan di dalam negara, tetapi di luar negara iaitu Jerman. Pementasan perdana yang dibuat sempena Spielart Festival ini diarahkan oleh Mark Teh yang telah mementaskan beberapa buah teater sebelum ini. Pada tahun 2016, Mark Teh turut mementaskan Baling yang telah menjelajah ke 7 buah bandar besar dunia termasuk di Jepun, Jerman dan India. Penglibatan beliau dalam teater di peringkat antarabangsa seharusnya diberikan perhatian. Version 2020 dijangka akan menyambung siri jelajahnya ke beberapa buah bandar lagi. Walaupun saya belum menonton Version 2020, tapi saya kira ia perlu diletakkan di dalam senarai ini sebagai pencapaian teater Malaysia yang menembus pasaran antarabangsa. Five Arts Centre selaku penerbit teater ini juga semakin sibuk dengan rangkaian antarabangsa. Sebagai sebuah syarikat teater yang prolifik, ia sesuatu yang perlu dijadikan contoh kepada banyak suarikat teater yang kecil dan muda.


Terdapat beberapa pementasan lain yang tidak dapat saya masukkan di dalam senarai ini berikutan saya tidak dapat hadir menonton dan kekurangan maklumat mengenainya. Dikhabarkan Losertown yang dipentaskan di KLPAC antara yang menarik. Riwayat di Georgetown Festival, The Storyteller di Kotak Five Arts Centre dan beberapa lagi. 


Senarai ini walaubagaimanapun adalah pandangan peribadi saya sebagai penonton dan pemerhati teater. Mungkin anda sebagai pembaca mempunyai senarai anda sendiri yang berlainan daripada saya. Saya mengalu-alukan pandangan anda. Tahun 2017 melabuhkan tirainya dengan bermacam-macam harapan. Semoga teater Malaysia pada tahun akan datang akan terus berkembang di dalam dan luar negara.

Sekitar Australia Performing Arts Market 2018

$
0
0

Pada 15 hingga 24 Februari yang lalu saya telah diberi peluang untuk menghadiri sebuah acara Australia Performing Arts Market 2018 (APAM2018). Ia sebuah acara seni yang melibatkan lebih kurang 600 delegasi dari seluruh dunia. APAM2018 adalah platform dagangan seni yang bertujuan meningkatkan jual beli kerja seni persembahan dan juga pelaburan bakat. Lebih kurang begitu secara ringkasnya.

Peluang ini bukanlah datang bergolek. Saya perlu menghadiri satu presentation yang dinilai oleh beberapa panel tempatan dan bersaing dengan ramai orang termasuk nama-nama gah di dalam industri seni persembahan. Inisiatif daripada CENDANA ini adalah bertujuan untuk memasarkan produk seni persembahan Malaysia ke peringkat antarabangsa. Selepas beberapa minggu, nama saya diumumkan sebagai delegasi Malaysia. Selain saya, ada enam orang wakil lagi yang telah mendapat peluang ini. Semua mereka mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan mempunyai sejarah yang panjang dalam seni persembahan di Malaysia dalam bidang teater, tari dan muzik.

Misi kami adalah menjual karya kami di peringkat antarabangsa. Kami dikehendaki menghadiri program yang dinamakan Speed Dating di mana kami akan pitch idea persembahan kami kepada program director, artistic director, curator dan sebagainya dari pelbagai festival, organizer, venue dan sebagainya. Kami punya masa selama 10 minit untuk membentangkan idea kami. Ia sesuatu yang sangat mencabar bagi saya kerana terdapat lebih kurang 12 produser/artis yang turut sama mengambil giliran untuk present idea mereka. Tambahan, ini kali pertama saya menyertai acara seperti ini dan kurang idea bagaimana ia berlangsung.

Selain itu juga, saya telah terpilih untuk menyertai program Performing Asia yang diadakan dua hari lebih awal daripada acara APAM2018 ini. Performing Asia dihadiri lebih kurang 39 delegasi dari pelbagai negara di rantau Asia Pasifik. Daripada New Zealand, Australia, Indonesia, Singapura, Malaysia, Taiwan, China, Jepun, Hong Kong dan beberapa lagi yang lain. Ia bertujuan melakukan pemetaan tentang inisiatif, tindakan yang boleh dilakukan secara kolektif untuk mengalihkan Asia Pasifik menjadi sebagai pusat seni persembahan yang setaraf dengan rantau lain seperti di Eropah dan Amerika. Rantau ini juga dianggap unik kerana mempunyai pelbagai golongan masyarakat seperti orang asli (aboriginal), bangsa dan diaspora Cina, Indo-china, Kaukasia dan ramai lagi. Dengan kepelbagaian bangsa, budaya dan bahasa menjadikan rantau Asia Pasifik sangat unik dan dinamik berbanding rantau lain.

Saya berpeluang berjumpa dengan ramai orang yang mempunyai pelbagai ragam, citarasa, kecenderungan, pemikiran dan bakat. Berjumpa dengan orang sebegini merupakan sesuatu yang mengujakan. Saya boleh bercakap pasal teater tanpa henti dan bertukar-tukar pandangan tentang banyak hal. Dan berbual dengan mereka ini sebenarnya membuahkan satu hubungan artistik secara tanpa sedar. Kami mula berbicara sekiranya dapat bersama-sama menghasilkan sebuah kolaborasi antara negara. Dengan cara ini, dua negara terlibat bukan sahaja dapat berkolaborasi menghasilkan karya tetapi bakat juga dapat dieksport ke luar. Setakat ini sudah ada beberapa projek yang sudah hampir pasti. Dan beberapa projek yang akan kami usahakan.

Selain itu juga, saya berkesempatan menonton beberapa buah persembahan yang bersedia untuk dibeli oleh pembeli. Antara yang menjadi kegemaran saya adalah sebuah persembahan tari bertajuk Split oleh Lucy Guerin Inc. Tidak pernah saya merasa terpaku melihat persembahan tari selama lebih kurang 60 minit tanpa henti. Saya turut menonton beberapa persembahan lain yang hebat dan juga yang lemah. Membuatkan saya berfikir dalam hati, “show macam ni pun diorang nak jual.”

Saya juga turut berkesempatan berborak-borak bersama delegasi Malaysia yang lain. Ini kali pertama saya berborak-borak dengan Kok Man (Pentas Project), Aida Redza (Ombak-Ombak), Jillian Ooi (Rhythm in Bronze), Damien (Orang-orang Drum Theatre), Jihan (Kicau-Bilau) dan Terence (Terryandthecuz). Kami sama-sama berborak tentang show yang kami tonton, tentang bagaimana nak bikin work yang lebih baik, proses kreatif kami dan sebagainya. Kami turut berborak-borak tentang progress kami sepanjang berada di APAM2018. Saya berasa betul-betul bersemangat di kelilingi dengan orang-orang yang hebat ini. Saya turut mencadangkan sesuatu kepada Kok Man untuk difikir-fikirkan.

Terlalu banyak pengalaman yang saya kutip ketika menghadiri APAM2018. Saya dengar keynote speech yang sangat menginspirasikan, saya tonton show yang bermutu tinggi, saya jumpa artis yang mempunyai daya fikir yang sangat kritikal dan berbeza, saya jumpa kumpulan produser yang saling sokong menyokong antara satu sama lain, saya jumpa emerging artist dan producer yang sangat berkobar-kobar semangatnya dan ramai lagi. Jika diberi peluang sekali lagi, sudah tentu saya akan kembali lagi dengan lebih bersedia untuk mengdekati mereka ini.

Terima kasih kepada CENDANA yang telah memberikan peluang ini kepada saya dan rakan-rakan yang lain. Diharap kerajaan melalui CENDANA akan terus peka membantu seniman tempatan untuk meletakkan seni Malaysia di tahap yang membanggakan dan bersaing di persada antarabangsa. Buat seniman lain, saya optimis merasakan seni kita mampu berada di persada antarabangsa sekiranya kita kritikal dan serius dengan kerja-kerja seni kita.

Under Construction

BUKU TEATER JUTA-JUTA

$
0
0


MAKLUMAT BUKU

TAJUK
Teater Juta-juta: Koleksi Skrip Teater Fasyali Fadzly

PENULIS
Fasyali Fadzly

KANDUNGAN
Buku ini memuatkan lima buah naskhah yang dihasilkan antara tahun 2007 sehingga 2017. Naskhah yang terkandung di dalam buku ini ialah Tangan Kiri Ayah, Berani Mati, Kotak Hitam, Teater Juta-Juta dan Ingatan.

MUKASURAT
152

Pembelian boleh dibuat melalui e-borang.




Viewing all 80 articles
Browse latest View live